KUALA LUMPUR 7 Nov. – Titah Adendum yang didakwa dititah oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membolehkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah hanya khabar angin.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Saifuddin Nasution Ismail menegaskan, persoalan itu tidak patut ditimbulkan, malah mahkamah sudah memutuskan mengenainya.
“Cerita adendum itu adalah perkara berkait dengan keputusan Lembaga Pengampunan. Ia di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong. Kota Bharu (Datuk Seri Takiyuddin Hassan) juga ikuti keputusan mahkamah ketika peguam yang berkenaan bawa (perkara ini).
Mahkamah anggap Titah Adendum ini satu ‘hearsay’ (khabar angin). Itu jelas keputusan mahkamah. Kita tak patut timbulkan lagi,” katanya dalam sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 mewakili kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Takiyuddin yang ingin tahu sama ada adendum yang diperkatakan ramai itu benar-benar wujud atau sebaliknya.
Memperincikan isu Titah Adendum, Saifuddin berkata, perkara terbabit sama sekali tidak berkaitan dengan kementeriannya.
“KDN (Kementerian Dalam Negeri) lagilah jauh (daripada isu ini), kita tidak anggotai Lembaga Pengampunan. Peguam yang berkenaan sudah mengatakan si polan dapat (cerita) itu daripada si polan, itu maknanya ‘hearsay’,” katanya.
Pada 22 Oktober lalu, Mahkamah Rayuan menetapkan 5 Disember depan untuk mendengar rayuan Najib berhubung keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan bagi memulakan semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum.
Titah Adendum itu didakwa dititah oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah.
Pada 3 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib, 71, untuk memulakan prosiding semakan kehakiman ke atas lapan responden bagi mencabar kewujudan Titah Adendum itu, selepas berpendapat empat afidavit bagi menyokong permohonan Najib, termasuk oleh Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presidennya Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail adalah bersifat dengar cakap atau khabar angin.
Najib kemudiannya menfailkan notis rayuan pada 9 Julai.
Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Pesuruhjaya Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan serta Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden dalam permohonannya.
Menerusi permohonan yang difailkan April lalu, Najib, memohon perintah mandamus bagi memaksa sama ada semua atau satu daripada responden, menjawab dan mengesahkan kewujudan dekri tambahan itu yang bertarikh 29 Januari tahun ini.
Beliau turut memohon perintah mandamus bahawa jika dekri tambahan itu wujud, kesemua atau satu daripada responden harus menguatkuasakan ia serta-merta dengan memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah.
Najib telah menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana milik SRC International Sdn Bhd.
Pada 2 September 2022, beliau memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja dan Lembaga Pengampunan telah mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Nnn
