PUTRAJAYA 1 April – Siasatan terhadap isu pegangan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Azam Baki, serta dakwaan kewujudan ‘mafia korporat’ dalam suruhanjaya itu akan didedahkan apabila tiba masanya.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil, berkata kerajaan perlu menunggu maklum balas daripada Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar serta memastikan semua prosedur diselesaikan sebelum sebarang pendedahan dibuat.
Beliau berkata, siasatan berkenaan perlu dipastikan selesai sepenuhnya sebelum apa-apa tindakan lanjut berkait pemakluman hasil siasatan terhadap pegangan saham Azam boleh didedahkan.
“Tetapi ia terserah kepada Jemaah Menteri… sekiranya bila-bila masa, kita merasakan sudah cukup proses siasatan itu, maka itu terserah kepada Jemaah Menteri (untuk dedahkan),” katanya pada sidang media mingguan, hari ini.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata Shamsul Azri juga sebelum ini sudah memaklumkan terdapat beberapa proses yang perlu dipatuhi, sebelum sebarang pengumuman dibuat.
Justeru pihaknya menyerahkan kepada Shamsul Azri untuk memastikan semua proses berkenaan dituruti.
Semalam, Shamsul Azri dalam satu kenyataan menafikan dakwaan media antarabangsa yang mengatakan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim meminta jawatankuasa khas menangguhkan pendedahan hasil siasatan pemilikan saham Azam.
Sebaliknya Shamsul Azri berkata, Jabatan Peguam Negara akan mengambil tindakan selanjutnya terhadap agensi media itu susulan dakwaan berkenaan.
Kerajaan sebelum ini menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat dakwaan pemilikan saham yang dikaitkan dengan Azam.
Siasatan itu dijalankan susulan laporan media asing Bloomberg mendakwa Azam memegang jutaan saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.
Nnnn
