Peguam Muslim kecam serangan melampau

SEPANG 10 Mac – Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), mengecam sekeras-kerasnya tindakan kumpulan ekstremis yang didakwa terbabit dalam insiden serangan terhadap pendakwah bebas, Zamri Vinoth serta aktivis dikenali sebagai Cikgu Chandra.

Presiden PPMM, Muhammad Hisham Marzuki menegaskan serangan terhadap dua individu itu bukan sahaja mencabuli hak, malah berpotensi menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.

“PPMM memandang serius perkembangan membimbangkan apabila agenda dan ideologi pelampau kini dizahirkan melalui penggunaan senjata, cubaan membunuh, serangan fizikal serta pembakaran harta benda.

Ia bukan lagi sekadar retorik ekstremisme, sebaliknya telah menjurus kepada keganasan yang mesti ditangani secara tegas dan segera melalui saluran undang-undang terhadap pelaku serta pihak yang menghasut atau menyokong tindakan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, sebagai negara yang berteraskan kedaulatan undang-undang dan prinsip Rukun Negara, tidak ruang untuk keganasan, intimidasi atau fahaman ekstremisme.

Beliau turut menegaskan sebarang bentuk sokongan terhadap tindakan keganasan tidak boleh diterima, termasuk jika ia datang daripada Ahli Parlimen atau pemimpin masyarakat yang menunjukkan solidariti kepada pihak yang melakukan pencerobohan atau tindakan melanggar undang-undang.

Sehubungan itu, PPMM menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan yang menyeluruh, telus dan terperinci terhadap insiden terbabit.

“PPMM menuntut agar pelaku jenayah dibawa ke muka pengadilan tanpa kompromi demi menjamin keadilan serta ketenteraman awam.

Siasatan juga perlu memberi fokus kepada usaha membendung unsur ekstremisme yang boleh mengancam keselamatan negara,” katanya.

PPMM juga menyeru masyarakat agar tidak terpengaruh dengan retorik kebencian, sebaliknya terus memperkukuh semangat saling menghormati dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama.

“Undang-undang negara jelas dan tegas dalam menangani keganasan. Tiada kompromi terhadap ekstremisme. PPMM berdiri teguh bersama semua mangsa yang dizalimi dan akan terus memperjuangkan keadilan serta keamanan untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Media sebelum ini, media melaporkan tiga kenderaan Cikgu Chandra terbakar dalam kejadian yang dipercayai dilakukan sekumpulan lelaki tidak dikenali.

Pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung menerusi hantaran di Facebook memaklumkan kejadian itu berlaku kira-kira pukul 3 pagi apabila tiga kereta milik Cikgu Chandra dibakar.

Cikgu Chandra atau nama sebenarnya S Chandrasegaran, 47, berkata ketika kejadian beliau berada di rumah bersama dua anaknya sebelum menyedari dua lelaki tidak dikenali membuka pagar kediamannya.

Dalam perkembangan berkaitan, empat lelaki direman selama dua hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan serangan terhadap Zamri Vinoth.

Suspek yang terdiri daripada dua jurutera, seorang juruteknik dan seorang pemandu van berusia lingkungan 20-an hingga 30-an dilaporkan tampil menyerah diri di sebuah balai polis sebelum ditahan bagi membantu siasatan lanjut.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment