SEPANG 10 Mac – Tidak dipecat tetapi digantung keahlian parti Bersatu untuk tempoh selama dua penggal berkuat kuasa hari ini.
Begitulah hukuman terhadap Naib Presiden Bersatu, Dr Ronald Kiandee kerana melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan dan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.
“Mengapa sekadar digantung? Jika benar bersalah, pecat sahaja,” soal Ahli Parlimen Beluran itu susulan notis penggantungan yang dikeluarkan Lembaga Disiplin parti.
Notis itu bertarikh 10 Mac dan ditandatangani oleh Pengerusi Lembaga Disiplin Mohd Radzi Manan.
“Saya telah menganjurkan program RESET dan juga hadir bersama Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam perjumpaan bersama Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) di Bangkok.
“Jika benar itu adalah satu kesalahan besar, mengapa tidak dipecat?” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau berkata keputusan yang diambil terhadapnya hanya menguatkan lagi tanggapan bahawa Lembaga Disiplin parti kini digunakan untuk melindungi Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kelompok kecil di keliling kepimpinan tertinggi parti.
Apatah lagi lembaga ini dipengerusikan oleh individu yang mempunyai hubungan keluarga dengan kepimpinan tertinggi parti,” katanya.
Ronald mendakwa sejak dua tahun kebelakangan ini, hala tuju parti semakin tersasar apabila segala tindakan dilihat tertumpu kepada usaha mengangkat Muhyiddin sebagai ‘poster boy’ dan calon Perdana Menteri ke-11.
Menurutnya, sesiapa yang dilihat berpotensi menjadi penghalang kepada agenda itu akan disingkirkan, dengan Lembaga Disiplin didakwa menjadi mekanisme utama bagi melaksanakan tindakan berkenaan.
Beliau turut mendakwa tindakan sama pernah dikenakan terhadap beberapa pemimpin parti sebelum ini, termasuk Hamzah.
“Akhirnya yang tinggal hanyalah mereka yang sentiasa berkata ‘ya’ kepada presiden,” katanya.
Ronald juga mendakwa kewujudan kelompok yang disifatkannya sebagai ‘puak ya-presiden’ dalam parti itu berpunca daripada beberapa faktor, termasuk pelantikan oleh presiden, kekalahan dalam pemilihan tetapi diberikan jawatan oleh presiden, serta janji watikah pencalonan dalam pilihan raya.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan kesetiaan kepada presiden menjadi keutamaan dalam kalangan sebahagian pemimpin parti.
“Saya menyertai parti ini dahulu kerana percaya ia adalah wadah perjuangan, bukan alat untuk memenuhi cita-cita politik individu.
“Namun apa yang kita lihat hari ini amat jauh daripada semangat tersebut. Saya tidak akan merayu. Anggap sahaja tempoh rayuan ini telah tamat,” katanya.
Dalam pada itu, notis tersebut memaklumkan, tindakan terhadap Ronald itu dibuat selepas pihak lembaga disiplin bermesyuarat semalam dan memutuskan beliau digantung hak-hak keahlian dalam parti di bawah Fasal 22.5.
Mohd Radzi berkata, segala jawatan yang dipegang Ronald dilucutkan dan beliau tidak boleh membuat sebarang kenyataan atas nama parti sehingga tamat tempoh penggantungan.
“Ronald boleh mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan untuk pertimbangan dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis ini,” katanya.
Nnnn
