TANJONG 4 Mac – Kerajaan Negeri menamatkan perkhidmatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak Fahmi Zainol, sebagai Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi Negeri Pulau Pinang, mulai hari ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri akan mencadangkan pengganti Fahmi kepada Yang Dipertua Negeri petang ini.
“Perkhidmatan Yang Berhormat Fahmi Zainol sebagai Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri telah ditamatkan pada hari ini. Saya sudah bertemu dengan Yang Berhormat awal pagi ini dan Yang Berhormat menerima keputusan ini.
“Saya akan kemukakan cadangan penggantian kepada Tuan Yang Terutama Tun pada petang ini. Setelah berkenan (diperkenan) petang ini, pejabat saya akan keluarkan kenyataan untuk mengumumkan penggantian itu,” katanya.
Kon Yeow berkata, keputusan dibuat selepas menerima surat daripada Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh pada 3 Mac lalu yang meminta jawatan Fahmi diganti, susulan penggantungan semua jawatannya dalam parti.
Sebelum ini Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) memutuskan untuk menggantung semua jawatan parti yang disandangnya berkuat kuasa serta-merta.
Fahmi yang juga Naib Pengerusi PKR Pulau Pinang, dikenakan tindakan itu susulan pendakwaan mahkamah yang sedang
Penggantungan jawatan parti itu akan terus berkuat kuasa sehingga kes mahkamah membabitkannya diputuskan.
Pada 27 Februari lalu, Fahmi, 35, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Balik Pulau atas pertuduhan dengan sengaja mencederakan isterinya.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 April ini untuk sebutan semula kes.
Nnnn
