26 barang disenarai skim kawalan

PUTRAJAYA 19 Mac – Sebanyak 26 jenis barangan termasuk santan dimasukkan ke dalam senarai Skim Kawalan Harga Maksimum Musim Perayaan sempena musim Aidilfitri selama 15 hari bermula 24 Mac hingga 7 April depan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Armizan Mohd Ali berkata, skim bagi tempoh tujuh hari sebelum, 1 Syawal, dan tujuh hari selepas turut menyenaraikan bawang kecil India, bawang kecil ros India dan lobak merah.

Armizan berkata, pelaksanaan skim itu bagi menjamin tempoh wajar dan mewujudkan suasana menang-menang kepada pengguna dan peniaga.

Beliau berkata demikian di majlis pengumuman Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2025, Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) Aidilfitri dan Program Servis Ihsan Madani@Petronas AutoExpert (SIM@PAX) di sini.

Sebelum ini media melaporkan harga santan meningkat dengan mendadak pada dua bulan pertama tahun ini susulan gangguan bekalan.

Sementara itu harga dua jenis bawang tersebut pula turut meningkat tahun lepas susulan sekatan eksport oleh kerajaan India, sehingga memaksa Malaysia terpaksa beralih ke negara lain seperti China untuk mendapatkan bekalan.

Beliau berkata, pengguna dapat menikmati harga yang berpatutan dan peniaga pula tidak tertekan dengan tempoh masa pelaksanaan yang terlalu lama.

Katanya, analisis yang dilakukan mendapati harga beberapa barang yang dikawal memberi kesan positif dalam aspek kos sara hidup kepada pengguna ketika berbelanja untuk menyambut Hari Raya.

“Selain itu, penentuan harga ini dibuat setelah mengambil kira pandangan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, agensi kerajaan berkaitan dan penggiat industri,” katanya.

Katanya, semakan harga boleh dibuat melalui laman web KPDN di www.kpdn.gov.my.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011. Ini termasuk tindakan bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga bagi barang terkawal,” katanya.

Armizan berkata, kesalahan menjual barang harga terkawal melebihi harga maksimum boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000 bagi individu, manakala bagi syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

Beliau berkata, bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barang harga terkawal individu boleh didenda sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000.

Dalam kenyataan susulan, Armizan berkata, Pegawai-pegawai Penguat Kuasa KPDN akan ditugaskan di lokasi-lokasi strategik seperti di pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah barangan keperluan perayaan sepanjang tempoh masa skim bagi memastikan kepatuhan peniaga kepada perundangan berkaitan.

“Pada masa yang sama, penguatkuasaan secara berhemah dilaksanakan dengan memberi pendidikan, nasihat dan amaran supaya para peniaga mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa dan mengamalkan perniagaan yang beretika.

“Kerajaan berharap semua pihak dapat mematuhi harga-harga yang telah ditetapkan ini dan menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal harganya. Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini,” katanya lagi.

Related posts

Leave a Comment