CYBERJAYA 4 Mac – Lapan Ahli Parlimen penyokong kerajaan Madani memberi pelbagai alasan berikutan ketidakhadiran mereka di Dewan Rakyat ketika pengundian Rang Undang-Undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri.
Jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil, berkata antara alasan mereka termasuk berada di hospital dan ‘tersangkut’ dalam kesesakan lalu lintas.
Kegagalan mereka hadir menyebabkan draf undang-undang itu gagal memperoleh sokongan dua pertiga selepas hanya 146 menyokong berbanding keperluan 148 sokongan, sementara 32 Ahli Parlimen tidak hadir dan 44 Ahli Parlimen berkecuali.
Menurut Fahmi, daripada lapan Ahli Parlimen itu, tiga daripada Barisan Nasional (BN), manakala masing-masing seorang daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Bangsa Malaysia (PBM) serta dua Ahli Parlimen Bebas yang menyokong kerajaan.
Lapan Ahli Parlimen itu ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang); Henry Sum Agong (Lawas), Riduan Rubin (Tenom), Hishammuddin Hussein (Sembrong), Suhaimi Nasir (Libaran), M Saravanan (Tapah), Larry Soon (Julau) dan Dr Jeffrey@ Kitingan (Keningau).
“Kita sudah membuat semakan dengan Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) dan juga Pejabat Ketua Whip mengenai Ahli Parlimen tidak hadir.
“Dari blok PH, 100 peratus hadir. Semua hadir. Dan semua mengundi. Setiap dari mereka bila ditanya kenapa tidak berada di situ (Dewan Rakyat) ada yang memberikan pelbagai alasan,” katanya pada sidang media selepas perasmian Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di Menara 2 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), semalam.
Fahmi menjelaskan, Ahli Parlimen Libaran tidak dapat menghadiri sidang Dewan Rakyat kerana dimasukkan ke hospital manakala Saravanan menghadiri upacara keagamaan.
Nnnn
