TANJONG 4 Mac – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik, dilantik Exco kerajaan negeri yang baharu menggantikan ADUN Pantai Jerejak, Fahmi Zainol, yang perkhidmatannya berakhir hari ini.
Pelantikan Choon Aik diperkenan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Ramli Ngah Talib.
Menurut kenyataan dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri hari ini, pelantikan dibuat selaras Perkara 7 Perlembagaan Negeri Pulau Pinang dan berkuat kuasa mulai tarikh istiadat pengurniaan serta majlis mengangkat sumpah jawatan, taat setia dan sumpah simpan rahsia sebagai ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Menurut Pejabat Ketua Menteri, istiadat pengurniaan watikah pelantikan kepada Choon Aik dan majlis mengangkat sumpah akan diadakan Jumaat ini di Mutiara pada pukul 11 pagi.
Choon Aik, 52, berkhidmat sebagai ADUN Bukit Tambun sejak Mei 2018 dan adalah seorang perancang bandar berdaftar selama 13 tahun dan ahli korporat Institut Perancang Malaysia.
Beliau memulakan kerjayanya pada 1998 sebagai Pegawai Perancang Bandar dan Desa di Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang.
Pada 2005, beliau menyertai GCA Planning Consultants dan GCA Planning Sdn Bhd.
Dari 2008 hingga 2010, dan turut memegang jawatan sebagai ahli majlis di Majlis Perbandaran Seberang Prai.
Terdahulu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mengumumkan Fahmi Zainol yang berdepan pertuduhan mencederakan isterinya, ditamatkan perkhidmatannya sebagai Exco berkuat kuasa serta-merta.
Kon Yeow berkata beliau telah bertemu Fahmi pagi tadi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak itu menerima keputusan berkenaan.
Fahmi sebelum ini digantung daripada jawatan dalam PKR sementara menunggu keputusan kes mahkamahnya.
Nnnn
