Dividen KWSP 6.15 peratus

SUNGAI BULOH – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan kadar dividen 2025 sebanyak 6.15 peratus bagi Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah dengan jumlah keseluruhan agihan RM79.6 bilion.

Pengagihan dividen bagi tahun berakhir 31 Disember 2025 itu membabitkan RM67.1 bilion bagi Simpanan Konvensional dan RM12.5 bilion bagi Simpanan Shariah.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn, berkata pengkreditan

dividen bagi Simpanan Konvensional dan Shariah selesai esok dan boleh disemak melalui i-Akaun atau Terminal Layan Diri (SST) KWSP di seluruh negara.

Bagi tahun dikaji, KWSP mencatatkan jumlah pendapatan boleh agih sebanyak RM82.7 bilion, meningkat 9.5 peratus berbanding RM75.5 bilion pada tahun 2024.

Menurut  Ahmad Zulqarnain, aset pelaburan meningkat kepada RM1.409 trilion, menokok 12.8 peratus daripada RM1.250 trilion, didorong oleh pendapatan portfolio serta jumlah caruman bersih sebanyak RM66.5 bilion.

Katanya, dana persaraan itu telah mencatatkan prestasi yang memberangsangkan pada 2025 walaupun berdepan persekitaran yang tidak menentu berikutan dasar perdagangan yang sukar diramal.

Beliau memberitahu, pasaran ekuiti yang berdaya tahan menjadi pemacu utama pendapatan KWSP, disokong oleh pulangan stabil daripada pendapatan tetap dan kepelbagaian portfolio yang kukuh.

“Pencapaian ini mencerminkan pendekatan jangka panjang kami dalam melindungi simpanan ahli bagi memastikan pulangan yang mampan.

“Walaupun berdepan tekanan tarif dan perkembangan geopolitik, ekonomi global kekal kukuh pada tahun 2025. Inflasi yang semakin terkawal membolehkan bank-bank pusat utama melonggarkan dasar monetari, sekali gus mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif untuk pelabur jangka panjang,” katanya selepas pengumuman prestasi kewangan KWSP di sini, hari ini.

Ekonomi Malaysia berkembang 5.2 peratus pada 2025, disokong oleh permintaan domestik yang stabil dan eksport yang berdaya tahan.

Reformasi fiskal, reformasi struktural dan pelaksanaan inisiatif strategik nasional terus memperkukuh aktiviti pelaburan serta meningkatkan keyakinan perniagaan, manakala pelarasan kadar dasar oleh Bank Negara Malaysia (BNM) kepada 2.75 peratus menyokong momentum pertumbuhan ekonomi.

Ahmad Zulqarnain berkata, portfolio pelaburan KWSP yang pelbagai merangkumi kelas aset dan pasaran, dipandu oleh Alokasi Aset Strategik, membolehkan pengurus dana persaraan nasional itu menghadapi turun naik pasaran yang memuncak pada suku kedua selepas pengumuman tarif import timbal balik oleh Amerika Syarikat (AS).

“Walaupun kitaran pasaran boleh membawa ketidaktentuan jangka pendek, pengurusan risiko yang berdisiplin dengan strategi pelaburan jangka panjang terus menjadi teras dalam mengekalkan daya tahan dan menjana pulangan yang konsisten untuk ahli,” katanya.

Sementara itu, ekuiti kekal sebagai penyumbang utama pada 2025 dengan menjana RM50.7 bilion, atau 64 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan,  mengatasi RM49.9 bilion yang dicatatkan pada 2024.

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment