TEHRAN – Menteri Petroleum Iran, Mohsen Paknejad mengumumkan penemuan rizab gas asli baharu melebihi 200 bilion meter padu di selatan wilayah Fars, ketika sektor tenaga terus berdepan tekanan akibat perang di Asia Barat.
Menurut beliau, lebih 160 bilion meter padu gas daripada medan berkenaan berpotensi untuk diekstrak sambil menyifatkan penemuan itu sebagai sweet natural gas iaitu gas yang mengandungi jumlah hidrogen sulfida yang sangat rendah.
Katanya, kandungan gas toksik yang minimum akan mengurangkan kos operasi dan pembangunan medan tersebut.
Bagaimanapun, laporan Bloomberg menjangkakan sebarang pengeluaran baharu daripada tapak berkenaan hanya dapat direalisasikan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
