PUTRAJAYA 28 Feb . – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan Notis Kesan Individu dikeluarkan ke atas empat anak Daim Zainudin, susulan kegagalan mereka memberi maklum balas dan ketidakpatuhan terhadap dua notis rasmi yang diserahkan berkaitan pengisytiharan aset.
Menurut SPRM, notis itu dikeluarkan selepas tiada maklum balas diterima dan usaha menghubungi keempat-empatnya tidak berjaya setakat 26 Februari lalu.
“SPRM ingin menegaskan bahawa Notis Kesan Individu bukan satu bentuk hukuman atau Wanted List. Notis itu juga bukan bertujuan memalukan mana-mana pihak, sebaliknya adalah mekanisme prosedural bagi mengesan dan memastikan kehadiran membantu siasatan,” kata SPRM dalam kenyataan.
Tindakan itu juga diambil setelah pelbagai ruang dan tempoh munasabah diberikan, termasuk lanjutan masa sebelum ini.
“Pihak peguam sebelum ini memaklumkan bahawa anak guam mereka berada di luar negara dan mereka juga menghadapi masalah untuk berhubung. SPRM percaya tiga individu berada di luar negara manakala seorang berada di dalam negara.
“Berikutan kegagalan memberi maklum balas dan ketidakpatuhan terhadap dua notis rasmi yang diserahkan, SPRM mengeluarkan Notis Kesan Individu sebagai tindakan susulan yang sah di sisi undang-undang,” kata kenyataan itu.
SPRM menegaskan bahawa semua individu adalah tertakluk kepada prinsip kedaulatan undang-undang (rule of law) dan dilayan secara adil tanpa mengira latar belakang atau kedudukan.
“Sehubungan itu, SPRM menyeru keempat-empat individu berkenaan supaya tampil hadir ke Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya dengan segera bagi membantu siasatan dan mengelakkan sebarang tindakan lanjut menurut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.
Menurut SPRM, siasatan terhadap Daim dan keluarganya bermula selepas pendedahan Pandora Papers pada 2021 oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) yang mendakwa kewujudan syarikat dan aset luar pesisir yang dikaitkan dengan mereka serta sekutu perniagaan Daim.
Menurutnya, maklumat itu menjadi asas kepada risikan awal dan pembukaan kertas siasatan oleh SPRM pada 2023.
“Sepanjang tempoh Jun 2023 hingga November 2023, SPRM menyerahkan notis-notis mengikut Seksyen 36(1)(a) dan 36(1)(b) Akta SPRM 2009 kepada Allahyarham Tun Daim, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid dan anak-anak mereka bagi tujuan pengisytiharan harta.
“Sepanjang tempoh pematuhan notis mengikut Seksyen 36(1)(a) dan Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009, SPRM memberikan lima kali lanjutan masa selain tempoh notis asal bertarikh 7 Jun 2023.
“Lanjutan masa pertama dipohon pada 6 Julai 2023; lanjutan masa kedua pada 10 Ogos 2023; lanjutan masa ketiga pada 11 September 2023; lanjutan masa keempat pada 11 Oktober 2023; dan lanjutan masa kelima pada 14 November 2023,” katanya.
Menurut SPRM, lanjutan kelima itu adalah lanjutan terakhir, yang secara keseluruhannya, tempoh yang diberikan untuk pematuhan adalah selama enam bulan.
Bagaimanapun, hasil semakan dan analisis terhadap maklumat yang dikemukakan mendapati masih terdapat kegagalan dan ketidakpatuhan dalam pengisytiharan beberapa aset sebagaimana dikehendaki di bawah notis.
“Susulan itu, pada 23 Januari 2024, Toh Puan Na’imah dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009. Pada 29 Januari 2024, Allahyarham Tun Daim turut dituduh di mahkamah atas kesalahan yang sama.
“Pada 20 November 2025, SPRM membuka enam laporan baharu mengikut Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 terhadap beberapa individu susulan maklumat tambahan daripada agensi penguatkuasaan luar negara termasuk United Kingdom, Amerika Syarikat dan Singapura.
“Hasil siasatan mendapati individu terbabit gagal mematuhi sepenuhnya keperluan notis, termasuk ketidakpatuhan dalam mengisytiharkan aset bernilai tinggi serta akaun bank,” kata kenyataan itu.
Oleh itu, enam kertas siasatan dibuka terhadap Na’imah, Josephine Premla Sivaretnam dan empat anak Allahyarham iaitu Asnida Abdul Daim, Md Wira Dani Abdul Daim, Muhammed Amir Zainuddin Daim dan Muhammed Amin Zainuddin Daim.
Kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 kerana gagal mengisytiharkan aset secara menyeluruh dan pada 13 Februari 2026, Notis Menghadiri Pemeriksaan mengikut Seksyen 30(1)(a) Akta SPRM 2009 diserahkan melalui firma guaman Tetuan Zharif Nizamuddin.
SPRM turut menerima permohonan lanjutan masa daripada pihak peguam pada 16 Februari 2026. Sehubungan itu, SPRM memberi kata putus untuk penama-penama hadir ke pejabat SPRM pada 11 Mac 2026.
Nnnnn
