Dakwa polis India guna kekerasan

NEW DELHI – Amnesty International dalam laporan terbaharunya mendakwa polis India menggunakan kekerasan melampau terhadap penunjuk perasaan diketuai golongan muda yang mencetuskan peletakan jawatan Menteri Pendidikan bulan lalu.

Menurut laporan itu, keterangan saksi dan bukti visual yang disahkan menunjukkan penggunaan senapang yang melepaskan pelet, pelancar gas pemedih mata, bom tangan, belantan serta alat renjatan elektrik di New Delhi dan Bihar.

Laporan itu bercanggah dengan versi polis yang mendakwa kekerasan hanya digunakan selepas penunjuk perasaan bertindak ganas.

Amnesty turut berkata pihaknya mengesahkan dua insiden di daerah Siwan, Bihar, membabitkan anggota polis yang menggunakan kekerasan secara menyalahi undang-undang terhadap orang ramai, tetapi tiada kematian dilaporkan.

Demonstrasi di New Delhi tercetus susulan kebocoran soalan ujian kemasukan perubatan kebangsaan sebelum bertukar ganas pada 20 Julai apabila ribuan penunjuk perasaan cuba berarak menuju ke Parlimen.

Sementara itu, pemimpin pembangkang, Rahul Gandhi,  mengadakan demonstrasi duduk bantah di luar sebuah balai polis Delhi pada Jumaat bersama seorang penunjuk perasaan berusia 19 tahun yang mendakwa cedera akibat tembakan pelet ketika demonstrasi 20 Julai.

Gandhi menggesa siasatan polis terhadap kejadian tembakan itu dan pihak berkuasa kemudian membuka kertas siasatan berhubung aduan berkenaan.

Nnn

Related posts

Leave a Comment