SEPANG 22 Feb. – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki telah dipanggil untuk memberi keterangan berkaitan isu pemilikan saham pada 19 Februari lepas, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN), Shamsul Azri Abu Bakar.
Katanya, Jawatankuasa Khas Siasatan bagi isu pemilikan saham Azam telah bersidang pada 19 Februari dan berdasarkan laporan awal yang diterima, jawatankuasa itu sedang meneliti aspek pematuhan dan keteraturan pemilikan saham berkenaan oleh Azam.
“Jawatankuasa juga masih dalam proses menilai segala keterangan yang diperoleh dan akan memanggil saksi lain yang berkaitan bagi melengkapkan siasatan terhadap perkara itu.
“Jawatankuasa memberi jaminan siasatan menyeluruh akan dilaksanakan secara telus, bebas dan profesional,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Shamsul Azri memaklumkan hasil siasatan dan syor pertimbangan bagi tindakan selanjutnya akan diangkat kepada pihak berkuasa, termasuk sekiranya didapati wujud sebarang pelanggaran terhadap mana-mana undang-undang jenayah atau peraturan yang berkuat kuasa.
Jawatankuasa ini dipengerusikan Peguam Negara, Mohd Dusuki Mokhtar dengan keanggotaan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Johan Mahmood Merican.
Bloomberg dalam laporannya sebelum ini mendakwa Azam memiliki saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.
Azam bagaimanapun pada sidang media baru-baru ini menegaskan pegangan saham miliknya bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dibuat secara telus dan mengikut prosedur.
Susulan itu juga, Azam memfailkan saman terhadap Bloomberg berhubung artikel berunsur fitnah berkaitan dakwaan pemilikan saham yang diterbitkan pada 10 Februari lalu.
Menerusi writ saman dan pernyataan tuntutan itu, Azam selaku plaintif menuntut ganti rugi am sebanyak RM100 juta, ganti rugi teruk dan teladan, faedah serta kos.
