SEPANG 22 Feb. – Bekas Timbalan Presiden (PKR), Rafizi Ramli akan mengumumkan hala tuju politiknya pada Jun ini dengan berpegang kepada prinsip “empat tidak”, termasuk tidak menyertai mana-mana parti politik sedia ada.
Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi itu turut berkata beliau tidak akan menyertai ‘kuasa ketiga’, tidak akan menubuhkan parti baharu, dan tidak akan bekerjasama dengan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
Dalam satu wawancara bersama Sin Chew Daily, Rafizi bagaimanapun berhasrat mempertahankan kerusi Parlimen Pandan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) tanpa mengesahkan sama ada akan bertanding calon Bebas atau sebaliknya.
“Pilihan raya umum tidak lama lagi. Ia mungkin diadakan dalam tempoh setahun atau lebih awal. Saya mempunyai tanggungjawab kepada pengundi Pandan dan penyokong di seluruh negara.
Mereka mahu tahu sama ada saya akan bertanding pada pilihan raya akan datang dan di bawah panji apa,” katanya yang memilih Jun untuk membuat pengumuman itu menandakan setahun sejak beliau meletakkan jawatan dalam Kabinet.
“Saya percaya tempoh setahun mencukupi untuk saya menilai sentimen rakyat, berinteraksi dengan orang ramai dan membuat keputusan mengenai langkah seterusnya,” katanya.
Rafizi juga menyatakan kesediaannya berdepan tindakan disiplin parti, termasuk penggantungan atau pemecatan, susulan kenyataan terbukanya.
Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh, sebelum ini berkata tindakan terhadap Rafizi hanya akan diambil sekiranya terdapat aduan rasmi dikemukakan.
Ahad lalu, Rafizi menyertai bekas menteri dan Ahli Parlimen PKR, termasuk Nik Nazmi Nik Ahmad, Wong Chen dan Rodziah Ismail, pada perhimpunan “Tangkap Azam Baki”.
Dalam wawancara itu, Rafizi turut mendakwa PKR telah menyimpang daripada akar reformasinya.
“Saya menyertai parti kerana idealisme progresif, berbilang kaum, profesional dan terbuka. Ketika itu, kami memenangi undi melalui sikap progresif, keberanian dan keterbukaan bersuara,” katanya.
Bagaimanapun beliau mendakwa bahawa ciri-ciri tersebut semakin pudar selepas parti berkuasa.
Beliau menyifatkan kritikannya sebagai satu “ujian tekanan jantung” (cardiac stress test) terhadap PKR bagi menilai tahap toleransi parti terhadap perbezaan pandangan.
Rafizi menegaskan beliau tidak berniat menjatuhkan Anwar atau bertanding jawatan presiden parti, sebaliknya hanya mahu menyuarakan pandangan dan memaklumkan pendirian kepada orang ramai.
Pada pemilihan parti yang lalu, Rafizi gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR selepas tewas kepada Nurul Izzah Anwar.
Nnnn
