SEPANG 17 Feb. – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mencadangkan, jawatankuasa siasatan bagi menyiasat kepemimpinan tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipantau oleh badan bebas, sama ada melalui Jawatankuasa Parlimen dwipartisan atau tribunal bebas yang mempunyai kredibiliti tinggi.
Ketuanya, Dr Akmal Saleh berkata, langkah itu bukan soal mempertikaikan mana-mana pihak, tetapi soal memastikan keputusan siasatan tidak dipandang sebagai keputusan “kerajaan menyiasat kerajaan”.
Dalam masa yang sama, bagi menjaga integriti dan kredibiliti SPRM sebagai agensi utama membanteras rasuah, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki yang sedang disiasat hendaklah direhatkan sementara sehingga siasatan selesai.
“Ini adalah amalan standard dalam mana-mana institusi yang mementingkan integriti. Perlu diingat, ini bukan hukuman, tetapi langkah pentadbiran bagi mengelakkan persepsi campur tangan atau konflik kepentingan,” kata Akmal dalam satu kenyataan menerusi Facebooknya.
Dr Akmal berkata SPRM adalah institusi yang berdiri atas asas paling penting iaitu kepercayaan rakyat dan tanpa kepercayaan itu, apa juga siasatan, pendakwaan dan usaha memerangi rasuah akan sentiasa dipersoalkan, malah boleh dilihat sebagai tidak mempunyai legitimasi moral di mata rakyat.
“Sebab itu, dalam mana-mana negara yang serius memerangi rasuah, integriti institusi adalah lebih penting daripada mempertahankan individu,” katanya.
Dr Akmal juga mengingatkan, apabila wujud siasatan terhadap kepimpinan tertinggi SPRM, persoalan pokok yang perlu dijawab bukan sekadar “apa keputusan siasatan”, tetapi sejauh mana proses siasatan itu diyakini bebas, telus dan tidak mempunyai konflik kepentingan.
Tegasnya, jika prosesnya sendiri diragui, maka apa juga hasilnya nanti tetap akan dipersoalkan.
“Kepada Tan Sri Azam Baki, prinsipnya mudah – berani kerana benar. Jika tidak bersalah, rehat sementara bukanlah sesuatu yang perlu ditakuti. Malah, ia memberi ruang kepada siasatan dijalankan dengan lebih bebas dan telus.
Sekiranya didapati tidak bersalah, beliau boleh kembali menjalankan tugas dengan mandat moral yang jauh lebih kuat,” katanya.
Bagaimanapun jika sebaliknya berlaku, maka proses undang-undang mesti berjalan tanpa kompromi kerana rakyat hari ini bukan sekadar mahu melihat rasuah dibanteras, tetapi mahu melihat bagaimana ia dibanteras.
“Ketelusan bukan pilihan, ia adalah keperluan. Dan kepercayaan rakyat tidak akan datang melalui kenyataan semata-mata, tetapi melalui tindakan berani yang menunjukkan bahawa institusi lebih besar daripada mana-mana individu,” katanya.
Nnn
