Dr Mahathir mahu bantu, bukan cari kuasa

ALOR SETAR 21 Sept. –  Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor menepis dakwaan bahawa Dr Mahathir Mohamad akan diberikan kuasa selepas dilantik sebagai penasihat tidak rasmi kepada empat negeri dikuasai Perikatan Nasional (PN).

Katanya, dakwaan lantikan itu akan membuka jalan untuk menjadikan Dr Mahathir sebagai perdana menteri (PM) sekali lagi tidak timbul sama sekali kerana, bekas perdana menteri itu tidak lagi mempunyai sebarang kuasa dalam kerajaan.

“Tun tak ada kuasa apa, tak ada jawatan apa. Dia cuma nak bantu berdasarkan pengalaman dia, oleh kerana dia ada pengalaman jadi Perdana Menteri begitu lama.

Lagi pun dia ada rangkaian dan perhubungan yang bagus (dalam pelaburan), dia sanggup nak bantu, apa salahnya. Sesiapa yang ingin membantu, kami alu-alukan termasuk PMX (Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan mesyuarat bersama Lembaga Pengarah Kulim Technology Park Corporation Sdn. Bhd (KPTC) di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Sanusi yang juga Pengerusi PN negeri mengulas dakwaan bekas Ketua Menteri Sabah, Salleh Said Keruak bahawa langkah melantik Dr Mahathir sebagai penasihat bagi empat negeri dikuasai PN berkemungkinan mahu menjadikan beliau sebagai perdana menteri semula.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata bahawa langkah ‘State-Goverment 4’ (SG4) bukan untuk mencabar kuasa kerajaan Persekutuan dalam menarik pelaburan ke negeri-negeri pimpinan PN.

“Tidak. Melawan apa? Bab ekonomi patut tak boleh ada sekatan-sekatan politik, kepentingan parti, ekonomi kena open (terbuka). Kalau kita block (halang) ekonomi (kerana) politik itu merugikan,” katanya.

Mengenai pertemuan tertutup Dr Mahathir bersama beliau dan Exco kerajaan negeri Kedah di sini semalam, Muhammad Sanusi berkata bekas perdana menteri itu memaklumkan ramai pelabur menghubungi beliau menyatakan minat melabur di negara ini.

“Pelabur berpotensi dari Jepun, Korea Selatan, Timur Tengah menyatakan minat mereka untuk melabur seperti dalam sektor pelancongan Langkawi, pertanian dan lain-lain.

“Jadi Tun cadangkan kepada pelabur berpotensi untuk melabur di empat negeri ini,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, Dr Mahathir juga menggesa empat negeri itu membangunkan sistem untuk mempercepatkan kelulusan permohonan pelaburan.

“Kedah ada Permit Pembinaan Ekspres atau E10. Saya rasa di seluruh negara yang paling pantas membuat keputusan untuk meluluskan apa-apa permohonan tapak itu di Kedah. Kita dah beri taklimat kepada Dr Mahathir mengenai perkara ini,” katanya.

Related posts

Leave a Comment