SEPANG 17 Feb. – Srikandi Bersatu Malaysia menegaskan untuk kekal setia kepada parti, mempertahankan institusi Presiden dan berdiri teguh di belakang Muhyiddin Yassin berhubung perkembangan semasa yang melibatkan kepemimpinan parti dan sayap Srikandi.
Dalam satu kenyataan hari ini, 17 daripada 24 Exco Srikandi Malaysia, 11 daripada 14 Ketua Srikandi Negeri (KSN) serta Pengerusi dan Timbalan Pegerusi Tetap Srikandi Malaysia menyatakan sokongan kepada Muhyiddin.
“Pendirian kami adalah jelas, kami kekal setia kepada parti, mempertahankan institusi Presiden, serta berdiri teguh di belakang Tan Sri Presiden sebagai Presiden yang sah dipilih melalui Perhimpunan Agung parti.
Kami berpegang teguh kepada ketetapan yang perwakilan putuskan semasa Perhimpunan Agung Tahunan, sebarang percubaan untuk melemahkan kepemimpinan melalui tekanan terbuka, naratif perpecahan atau gerakan tersirat adalah perbuatan tidak beretika serta bercanggah dengan semangat perjuangan parti,” kata kenyataan itu.
Terdahulu Ketua Srikandi Bersatu, Mas Ermieyati Samsuddin menyatakan sokongan terhadap Timbalan Presiden yang dipecat, Hamzah Zainudin,
Sabtu lalu, Mas Ermieyati mengakui terdapat pihak cuba menghalangnya daripada menghadiri dan berucap pada himpunan ‘Reset’ anjuran Hamzah tetapi menegaskan tetap memilih untuk hadir demi menentukan hala tuju parti ke arah yang lebih baik.
Kenyataan hari ini pula diketuai Naib Ketua Srikandi Nolee Ashilin Mohd Radzi, yang sebelum ini menegaskan kenyataan Mas Ermieyati yang menyatakan sokongan terhadap Hamzah adalah keputusan peribadi dan tidak mewakili sayap itu.
Dalam kenyataan hari ini juga, Srikandi menegaskan pendirian berpegang bahawa semua keputusan berkaitan hala tuju sayap dan parti hendaklah dibuat melalui saluran rasmi, proses musyawarah dan struktur kepemimpinan sah, bukan melalui kenyataan individu atau tindakan unilateral yang hanya mengundang kekeliruan ahli serta melemahkan kekuatan parti dari dalam.
Di samping itu, Srikandi menolak sekeras-kerasnya budaya politik yang mencetuskan polemik terbuka sehingga mencalar imej parti.
“Dalam suasana yang mencabar ini, adalah penting untuk semua ahli menunjukkan kematangan politik, mengelakkan kenyataan yang boleh mengeruhkan keadaan, serta memberi ruang kepada kepemimpinan tertinggi parti mengurus perkara ini mengikut lunas perlembagaan dan saluran yang betul.
Fokus utama kita kekal kepada perjuangan parti dan amanah rakyat. Kami menyeru seluruh ahli Srikandi di semua peringkat untuk terus bersatu, tenang dan istiqamah dalam mempertahankan perjuangan agama, bangsa dan negara,” katanya.
Nnnnn
