Tujuan terjah bukan cari kesalahan

SEPANG 31 Jan.  – Dr Asyraf Wajdi Dusuki hari ini menjelaskan tujuan sebenar beliau hadir dan menerjah institusi pendidikan khususnya Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) adalah untuk penambah baikan bukannya mencari kesalahan.

Pengerusi MARA itu berkata, ia menjadi satu amanah yang perlu dilaksanakan pihaknya sejak dilantik menerajui agensi itu.

“Tujuan saya #Terjah bukan untuk cari kesalahan, tetapi untuk penambahbaikan. Ini adalah amanah untuk pastikan setiap sen duit MARA dibelanjakan dengan betul dan berkesan,” katanya di Facebooknya, di sini hari ini.

Tindakan Asyraf Wajdi melakukan aktiviti terjah khususnya di MRSM sejak dilantik 10 Mac 2023 mendapat pujian ramai kerana mengambil tahu isu yang berlaku dalam maktab berkenaan khususnya dalam kebajikan pelajar-pelajar.

Menerusi Facebooknya, hari ini beliau turut berkongsi bagaimana aktiviti terjah itu membolehkan kerja-kerja penambahbaikan tandas yang rosak di MRSM Tun Ghazali Shafie Kuala Lipis baru-baru ini.

“Alhamdulillah, peruntukan segera yang saya umumkan untuk kerja-kerja penambahbaikan tandas yang rosak juga telah disalurkan semalam.

“Terima kasih kepada Bahagian Pendidikan Menengah MARA yang pantas ambil tindakan hanya dua hari selepas saya turun terjah mengejut ke MRSM TGS Kuala Lipis Rabu lalu,” katanya.

Related posts

Leave a Comment