KUALA LUMPUR 23 Ogos – Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhammad Akmal Saleh mencabar Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Melaka supaya meminta DAP menghantar surat rasmi kepada UMNO Malaysia untuk memutuskan kerjasama politik.
“Saya pun mahu tunggu sama ada berani atau tidak. Kalau setakat sembang kencing kuat ni, hancing jer dapat,” kata Akmal yang merujuk gesaan yang dibuat oleh DAPSY Melaka.
Beliau membuat kenyataan itu selepas Ketua DAPSY Melaka, Cassel Krishnan menolak politik kebencian yang didakwa dimainkan Akmal.
Menurut beliau, isu Jalur Gemilang tidak wajar dijadikan modal politik murahan kerana ia hanya menyemai kebencian dalam masyarakat. “Kesilapan kecil rakyat tidak boleh dijadikan alasan untuk menakut-nakutkan mereka daripada mengibarkan…
Secara sinis, Akmal berkata: “Kalau kamu takut saya tag bos kamu kat sini harap dia baca”.
Hantaran itu turut ditanda kepada Setiausaha DAP, Anthony Loke Siew Fook.
Terdahulu DAPSY Melaka menggesa pucuk pimpinan DAP dan DAPSY Kebangsaan supaya segera memutuskan sebarang bentuk kerjasama politik dengan Dr Akmal.
DAPSY Melaka berkata, tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu memperbesarkan isu kesilapan kecil membabitkan Jalur Gemilang sebagai percubaan menyemai kebencian dalam kalangan masyarakat.
“DAPSY Melaka tetap menegaskan bahawa isu Jalur Gemilang tidak wajar dijadikan modal politik murahan. Tindakan Akmal Saleh yang menggunakan kesilapan kecil untuk menyerang rakyat jelata jelas satu percubaan menyemai kebencian dalam masyarakat,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan tersebut turut membandingkan insiden itu dengan tindakan Pemuda UMNO Terengganu yang sebelum ini menyiarkan grafik Jalur Gemilang yang salah.
“Jika Akmal benar-benar mahu berlaku dengan adil, beliau sepatutnya menghentam keras kesilapan partinya dengan protes dan perhimpunan, bukan sahaja memohon maaf. Kalau tidak, adakah kami perlu mengajar Pemuda UMNO cara melukis bendera di hadapan khalayak?” soal kenyataan itu lagi.
Menurut DAPSY Melaka, tindakan Akmal yang mendesak hukuman segera atas nama patriotisme hakikatnya menakut-nakutkan rakyat untuk mengibarkan Jalur Gemilang, dan ia tidak membantu memperkukuh keharmonian negara.
DAPSY Melaka mengingatkan peranan seorang ADUN dan pemuda politik ialah membina negara, memperkukuh dasar kerajaan serta menyemai semangat perpaduan rakyat.
Selain itu, DAPSY Melaka menyokong penuh kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menegaskan bahawa budaya menghina, menghasut dan melampaui batas perlu dihentikan segera.
“Mana-mana ahli politik yang menanam kebencian kaum atau agama tidak wajar diberi ruang dalam kerangka politik matang,” tegas kenyataan tersebut.
Justeru, DAPSY Melaka menegaskan bahawa tiada lagi alasan untuk meneruskan sebarang bentuk kerjasama politik dengan Akmal Saleh dan mahu pimpinan DAP mengambil pendirian tegas dalam perkara ini.
Sementara itu DAPSY Selangor menggesa agar DAP dan DAPSY kebangsaan segera memutuskan hubungan politik dengan Akmal yang berfungsi sebagai ejen Perikatan Nasional (PN) dalam Kerajaan Perpaduan.
DAPSY Selangor dalam kenyataan berkata, Dr Akmal tidak insaf meskipun telah didakwa di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam atas catatan Facebook yang didakwa menghasut berhubung isu Jalur Gemilang terbalik.
Sebelum ini DAPSY Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan dan Selangor juga menggesa kepimpinan DAP memutuskan sebarang bentuk hubungan politik dan tidak bekerjasama dengan Akmal.
Sementara itu Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Dr Puad Zarkashi berkata, DAP yang menjadikan isu ini berubah kepada naratif kaum dan isu untung rugi.
“DAPSY bantah perniagaan klinik Pergigian di Pontian diarah tutup 30 hari kerana pasang bendera terbalik.
Dalam kes Teo Beng Hock, DAP dua kali dalam kerajaan. Semasa PH 1.0 dan sekarang. Gali kubur pun sudah, inkues sudah, SPRM bayar pampasan juga sudah, tetapi DAP tidak berani “move on”, takut hilang sokongan Cina. Berhentilah mengugut,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Puad berharap Akmal istiqomah dengan niat murni iaitu “patriotism first and business second” serta bendera “bukan soal politik, bukan soal kaum tetapi soal maruah Jalur Gemilang.
Berhubung desakan terbaru DAPSY Selangor dan Melaka supaya hubungan dengan Akmal diputuskan, Puad berkata “lantaklah”.
“Akmal, “You are not alone”. Kita yakin DAPSY juga “are not alone”. Ada orang dibelakang mereka. Pihak sama yang mengarah DAPSY buat laporan polis terhadap Akmal,” kata Puad.
Nnnn
