KUALA LUMPUR 31 Jan. – Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera (PAT) yang baharu berkuat kuasa esok.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah memperkenankan Malek Razak dinaikkan ke pangkat daripada Leftenan Jeneral ke Jeneral seterusnya dilantik sebagai PAT.
Dalam kenyataannya, Mohamed Khaled berkata, pelantikan berkenaan dibuat selaras dengan syor Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT) Siri ke-633 (Khas) yang bersidang pada 29 Januari lalu, sebelum mendapat perkenan Seri Paduka Baginda semalam.
Malek Razak memiliki kelulusan Diploma Strategik dan Keselamatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Sarjana Pengajian Pertahanan dari King’s College London serta Sarjana Sains Sosial dalam bidang Pengajian Pertahanan dari UKM.
Katanya, perkhidmatan Malek Razak bermula pada tahun 1985 sebagai Pegawai Kadet Luar Negara di Royal Military Academy Sandhurst, United Kingdom, sebelum ditauliahkan pada 11 Disember 1987 dengan pangkat Leftenan Muda.
Sepanjang hampir 40 tahun perkhidmatan, Malek Razak mempamerkan kebolehan, keupayaan serta kepimpinan yang tinggi, bermula sebagai Ketua Platun di Batalion Ke-21 Rejimen Askar Melayu Diraja sebelum berkhidmat di pelbagai pasukan dan jawatan di peringkat pemerintah serta staf.
“Berdasarkan pengalaman luas serta kredibiliti yang dimiliki, Kementerian Pertahanan yakin pelantikan ini akan memperkukuh kepemimpinan dan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mendepani cabaran pertahanan negara,” katanya.
Kepimpinan baharu itu juga dijangka memulihkan serta memperkukuh wibawa ATM berteraskan integriti dan profesionalisme, di samping mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap institusi pertahanan negara.
nnnn
