KUALA LUMPUR 19 Jan. – Kadar bayaran haji untuk bakal haji Muassasah kumpulan B40 yang kali pertama menunaikan ibadah itu ditetapkan pada RM12,356 manakala RM19,152 bagi kumpulan M40.
Bagi kumpulan M40 yang pertama kali menunaikan ibadat haji pula adalah RM19,152 seorang manakala bagi golongan T20 pula, sebagaimana tahun lalu, jemaah dikehendaki membuat bayaran penuh iaitu RM33,300.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Syed Hamadah Syed Othman, berkata kos haji bagi bakal haji Muassasah untuk tahun ini meningkat kepada RM33,300 berbanding RM30,850 tahun lalu.
Bercakap pada sidang media di sini hari ini, beliau berkata, tahun ini, TH memperuntukkan bantuan kewangan haji (HAFIS) sehingga 63 peratus daripada kos haji untuk golongan B40, manakala 42 peratus bagi M40.
Bakal haji kumpulan B40 akan menerima bantuan kewangan haji dan bantuan kerajaan sebanyak RM1,000 dengan jumlah keseluruhan bantuan adalah RM20,944 seorang atau bersamaan dengan 63 peratus daripada kos haji.
“Bayaran haji bakal haji Muassasah kumpulan M40 yang pertama kali menunaikan ibadat haji pula adalah RM19,152 seorang. Mereka menerima bantuan kewangan haji berjumlah RM14,418 seorang atau 42 peratus dari keseluruhan kos haji,” katanya.
Katanya surat tawaran kepada 31,600 jemaah bagi musim haji 1445H/2024M akan dikeluarkan bermula hari ini dan bakal haji perlu menjawab surat tawaran terbabit dalam tempoh 11 hari bekerja melalui aplikasi THiJARI.
“Walaupun berlaku kenaikan kos haji, TH tetap mencari kaedah terbaik mengimbangi usaha memberikan perkhidmatan cemerlang demi kebajikan jemaah negara di samping mengekalkan kelestarian kedudukan kewangan TH.
“Sejak 2001, TH telah membelanjakan sejumlah RM2.4 bilion bagi bantuan kewangan haji dan dijangka membiayai kos sebanyak RM350.1 juta bagi musim haji kali ini,” katanya di Menara TH, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Eksekutif TH, Syed Saleh Syed Abdul Rahman.
Mengenai bakal haji yang membuat rayuan di luar giliran, Syed Hamadah berkata, mereka perlu membayar kos haji penuh melainkan bagi dua kategori iaitu rayuan sebagai mahram kepada jemaah dan sebagai pembantu kepada jemaah lanjut usia yang terpilih menunaikan rukun Islam kelima itu.
Sementara itu, Syed Saleh ketika mengulas isu kenaikan kos haji yang mungkin memberi impak kepada kelompok tertentu terutama B40, menjelaskan penetapan kadar dibuat mengikut semak silang data disediakan kerajaan.
Penentuan (kadar) bagi B40, M40 dan T20 ini adalah daripada semak silang dengan data daripada kerajaan.
Nnn
