KOTA KINABALU 1 Dis. – Barisan Nasional (BN) yang memenangi enam kerusi pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah baru-baru ini diterima menganggotai Kabinet kerajaan pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Sebelum itu, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi menyatakan sokongan kepada Hajiji Noor dan mengemukakan calon untuk jawatan Kabinet.
Pada istiadat angkat sumpah jawatan di Istana Seri Kinabalu hari ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau Jafry Ariffin yang mewakili BN mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.
Majlis angkat sumpah Jemaah Menteri kerajaan negeri Sabah itu berlangsung di hadapan Yang Dipertua Negeri Tun Musa Aman.
Kabinet yang diketuai Hajiji dibarisi komposisi tiga Timbalan Ketua Menteri serta tujuh Menteri terdiri daripada lima ADUN mewakili GRS dan masing-masing satu BN dan PH.
Tiga Timbalan Ketua Menteri pula membabitkan gabungan dua pemimpin GRS iaitu Masidi Manjun (N.37 Karanaan) dan Dr Joachim Gunsalam (N36. Kundasang) serta Presiden UPKO, Ewon Benedick (N.11 Kadamaian).
Dr Joachim, yang juga Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) akan turut mengetuai Kementerian Kerja Raya dan Utiliti, manakala Masidi akan meneruskan portfolio terdahulu sebagai Menteri Kewangan dalam pentadbiran negeri baharu.
Ewon pula akan mengetuai Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Perdagangan.
Berikut tujuh barisan Menteri:
1. Arifin Arif (GRS) – Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan.
2 . Jamawi Jaafar (PH) – Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan.
3. Rubin Balang (GRS) – Kementerian Pembangunan Luar Bandar
4. James Ratib (GRS) Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi.
5. Jafry Ariffin (BN) Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar
6. Julita Mojungki (GRS) – Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Komuniti.
7. Nizam Titingan (GRS) – Kementerian Pembangunan Belia, Sukan dan Ekonomi Kreatif.
