KOTA KINABALU 1 Dis. – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yakin Jemaah Menteri yang baharu dilantik berupaya memacu kemajuan negeri menerusi pelaksanaan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
Beliau merakamkan tahniah kepada semua menteri yang mengangkat sumpah jawatan hari ini, di samping mengingatkan bahawa amanah itu membawa tanggungjawab besar dalam meneruskan agenda pembangunan negeri.
“Tanggungjawab ini besar maknanya dan saya berharap agar anda memikul amanah ini dengan dedikasi yang tidak berbelah bahagi. Berkhidmat kepada rakyat Sabah tanpa mengira latar belakang dan laksanakan tugas dengan penuh integriti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau yakin dan percaya ahli Jemaah Menteri mempunyai pengalaman dan kebolehan untuk memimpin di kementerian masing-masing ke arah membawa kemajuan dan pembangunan lebih cemerlang dan gemilang terhadap negeri dan pada masa sama, memastikan kesinambungan program pembangunan sebagaimana yang telah dirancang,
Teks kenyataan Hajiji dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri 1 Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam di kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya di sini.
Beliau turut mengesahkan pembabitan secara rasmi Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Sabah yang baharu manakala Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) belum mengesahkan penyertaan mereka.
Sebanyak 10 anggota Kabinet Sabah mengangkat sumpah jawatan masing-masing di hadapan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu di sini hari ini.
