KOTA KINABALU 1 Dis. – Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menolak sebarang usaha membawa Barisan Nasional (BN) menyertai Kerajaan GRS Plus yang diterajui Ketua Menteri, Hajiji Haji Noor.
Dalam kenyataan hari ini, sayap pemuda parti itu berpendirian, kerajaan negeri yang dibentuk menerusi gabungan GRS Plus mempunyai kedudukan majoriti selesa, sekali gus tidak memerlukan penyertaan BN bagi mengukuhkan pentadbiran.
Ia merujuk kepada komposisi semasa melibatkan GRS sebanyak 29 kerusi, Bebas (5), UPKO (3), Pakatan Harapan (1), KDM (1) serta dua kerusi STARSABAH.
“Selain itu, kedudukan kerajaan akan bertambah kukuh dengan pelantikan enam Ahli Dewan Undangan Sabah Dilantik, sekaligus memastikan kestabilan pentadbiran negeri di Dewan Undangan Sabah,” kata kenyataan itu..
Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki nemaklumkan, BN telah memberikan sokongan untuk bersama membentuk kerajaan negeri Sabah.
Dalam perkembangan sama, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pula berkata, sebagai sebuah parti yang sentiasa mengutamakan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat, BN sedia bekerjasama dengan parti-parti yang sehaluan bagi membentuk kerajaan negeri baharu demi kestabilan politik Sabah.
Di samping itu, Pemuda berpendirian, komposisi ahli yang berhormat dalam kerajaan GRS Plus ketika ini kukuh, stabil dan mencukupi untuk meneruskan agenda pembangunan negeri tanpa memerlukan penambahan daripada pihak yang ditolak rakyat.
Pemuda juga mengingatkan bahawa rakyat Sabah telah memberi isyarat jelas menolak BN daripada berada dalam kerajaan negeri dan keputusan pengundi tidak wajar dinafikan sebaliknya perlu dihormati.
“Pengalaman lalu perlu dijadikan pengajaran, langkah-langkah sumbang politikyang berlaku pada tahun 2023 yang turut digerakkan BN tidak seharusnya berulang kerana ia telah menggugat kestabilan politik dan keyakinan rakyat.
Tambahan pula, BN sendiri secara terbuka sebelum ini enggan bekerjasama dengan GRS, malahan telah melancarkan serangan politik yang luar biasa terhadap GRS serta kepemimpinan Ketua Menteri,” tegas Kenyataan itu.
Sehubungan itu Pemuda Gagasan Rakyat menegaskan bahawa fokus utama kerajaan ketika ini adalah memastikan kestabilan politik, memperkukuhkan pentadbiran serta mempercepatkan agenda pembangunan demi kesejahteraan rakyat bukannya melayani percaturan politikyang tidak berlandaskan mandat rakyat.
Nnnn
