SHAH ALAM 18 Nov. – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kebimbangan terhadap gejala ketagihan dadah yang semakin parah dalam kalangan masyarakat terutama melibatkan golongan berbangsa Melayu.
Baginda menzahirkan perkara itu menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office, berdasarkan statistik penyalahgunaan dan penagihan dadah di Malaysia oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang menunjukkan peningkatan 31.6 peratus berbanding tahun lalu.
“Adalah amat malang sekali jika dilihat rata-rata mereka yang terjebak dengan gejala ketagihan dadah adalah golongan berbangsa Melayu yang beragama Islam iaitu 76.8 peratus.
“Juga golongan artis yang ramai terjebak, yang mampu mempengaruhi anak muda Melayu Islam,” menurut hantaran itu.
Justeru baginda juga menyeru seluruh umat Islam menghayati dan memahami intipati khutbah Jumaat yang dibacakan oleh khatib di masjid-masjid negeri Selangor pada 15 November lalu bertajuk “Gejala dadah: Sekali cuba merana selamanya”.
Baginda menasihatkan masyarakat menjauhi dadah yang bukan sahaja boleh merosakkan diri dan akal, salah di sisi agama malahan tidak memberi apa-apa kebaikan terhadap individu selain mengganggu keupayaan untuk beribadah.
Baginda bertitah, pengambilan dadah jenis sintetik juga boleh mengundang kejadian jenayah kejam dan bunuh diri yang semakin kerap dilaporkan media massa.
“Berpunca daripada dadah yang mungkin hanya ingin mencuba pada awalnya, akhirnya akan membawa kepada kerosakan yang tidak pernah dijangka.
“Akal fikiran menjadi celaru, lemah dan lesu, rumah tangga yang dibina sekian lama boleh musnah sekelip mata. Institusi keluarga runtuh tidak semena-mena, jenayah seksual menjadi biasa.
“Lebih parah apabila ia melibatkan pemandu di atas jalan raya yang akan menyebabkan kematian diri dan pengguna jalan raya yang lain,” menurut hantaran itu.
Sultan Sharafuddin juga menyeru masyarakat untuk tidak menyisihkan golongan yang terjebak dengan ketagihan dadah.
Sebaliknya, titah baginda, masyarakat harus memainkan peranan untuk mendidik dan membantu membina semula jati diri, mengukuhkan semula keyakinan serta memberi mereka peluang kedua untuk memperbetulkan kesilapan lalu.
Nnn
