NEW YORK 26 Sept. – Malaysia membuktikan komitmen berterusan terhadap perjuangan rakyat Palestin dengan menyalurkan lebih AS$42 juta (RM177 juta) dalam bentuk bantuan kemanusiaan dan sokongan pemulihan semula Gaza sejak 2024,
Menteri Luar, Mohamad Hasan, berkata, Malaysia menyumbang AS$17 juta (RM72 juta) menerusi Tabung Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin sejak tahun lalu.
Berucap pada Mesyuarat Menteri-Menteri Penyokong Palestin di Ibu Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sini, beliau turut mengumumkan tambahan AS$25 juta (RM100 juta) sebagai bantuan kemanusiaan dan pemulihan semula Gaza.
Dalam pada itu, Mohamad menggesa negara anggota PBB memastikan mandat dan peranan Agensi PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA) kekal sebagai nadi penting kepada pelarian Palestin di Gaza, Tebing Barat, Jordan, Lubnan dan Syria.
Katanya, negara-negara anggota PBB perlu memastikan mandat dan peranan agensi itu tidak terganggu.
“Negara anggota PBB perlu melaksanakan tanggungjawab menyokong UNRWA dan menjamin penyaluran bantuan kemanusiaan penting di Gaza tidak terputus. Malaysia akan terus bekerjasama dengan rakan-rakan seperti Jordan, Mesir dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi melancarkan usaha ini,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia akan terus menyokong mandat UNRWA dalam memberikan bantuan dan perlindungan kepada pelarian Palestin.
Mohamad menegaskan, Malaysia bersedia bekerjasama dengan PBB dan negara-negara sehaluan bagi memperkukuh saluran bantuan serta menyokong usaha pemulihan jangka panjang Gaza.
Nnnn
