Tony Pua dipanggil ke Bukit Aman

KUALA LUMPUR 4 Feb. – Bekas Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua mengesahkan akan memberi keterangan kepada polis di Bukit Aman pada pukul 1 tengah hari esok, Isnin .

Dalam kenyataan berbaur sinis, malam ini, Pua menyifatkan Ketua Polis Negara (KPN), Razarudin Husain, sebagai sangat cekap dan pantas bertindak berhubung laporan polis yang difailkan terhadapnya.

“Ah. Tidak boleh lari selepas apa yang berlaku.

“KPN sendiri bertindak sangat pantas, amat cekap dan bekerja lebih masa pada Ahad, memberikan perhatian peribadi kepada laporan-laporan polis yang mungkin difailkan oleh ‘budak-budak’ UMNO,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan polis menerima laporan berhubung kenyataan Pua dalam Facebook, dan menjalankan siasatan terhadapnya yang didakwa mengeluarkan kenyataan menghina Yang di-Pertuan Agong.

Razarudin dipetik berkata, kenyataan Pua didakwa bersifat menghasut orang ramai supaya membenci dan menghina institusi diraja berkenaan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong dalam menjalankan bidang kuasanya bawah Artikel 42 Perlembagaan Persekutuan.

Related posts

Leave a Comment