BANGI 26 Sept. – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas bagi Sungai Ramal, Mohd Shafie Ngah, memohon maaf secara terbuka kepada Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan (DAP) berhubung satu kenyataan pada 2022 dan 2023.
Kenyataan itu dibuat semasa acara Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Umum 2022 dan Pilihan Raya Negeri Selangor 2023.
Menerusi permohonan maaf yang dimuat naik di laman Facebooknya hari ini, Shafie mengakui bahawa beliau membuat dakwaan palsu yang antaranya menyatakan Syahredzan bukan seorang Muslim yang jujur dan taat beragama serta menyokong ideologi komunis.
“Saya mengakui bahawa kenyataan-kenyataan tersebut adalah sepenuhnya palsu, tidak berasas dan langsung tidak mempunyai merit. Saya amat kesal kerana telah membuat atau menyebabkan kenyataan-kenyataan tersebut diterbitkan, dan saya sepenuhnya menyedari kesan kesakitan, tekanan emosi dan kerosakan reputasi yang telah saya timbulkan kepada Syahredzan,” katanya.
Beliau turut mengakui bahawa Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur telah mengeluarkan perintah injunksi interim pada 19 Februari 2024 yang melarang beliau daripada mengeluarkan sebarang kenyataan fitnah lanjut terhadap Syahredzan.
Sehubungan itu, beliau menarik balik sepenuhnya kenyataan-kenyataan tersebut tanpa syarat, dan memberikan aku janji secara mutlak dan jelas untuk tidak membuat atau menerbitkan sebarang kenyataan yang bersifat fitnah atau berkemungkinan memfitnah Syahredzan dalam apa jua bentuk sekalipun.
Shafie turut menyatakan komitmen untuk bertindak dengan lebih berhati-hati, hormat dan berintegriti pada masa hadapan.
Sementara itu, Syahredzan dalam satu hantaran di Facebook menyatakan bahawa permohonan maaf tersebut adalah hasil penghakiman persetujuan yang direkodkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 22 September 2025 berhubung saman fitnah yang difailkan terhadap Shafie.
Menurut Syahredzan, antara terma penyelesaian yang dipersetujui ialah larangan terhadap Shafie daripada mengulangi kenyataan yang dipertikaikan serta penerbitan permohonan maaf secara terbuka di dua akhbar nasional dan di semua platform media sosial berkaitan, termasuk Pas Bangi dan PN Bangi.
“Dengan penyelesaian ini, dan setelah semua terma dipatuhi sepenuhnya, maka tidak seharusnya wujud lagi sebarang pertikaian peribadi antara saya dan Shafie,” katanya.
Syahredzan turut merakamkan penghargaan kepada pasukan peguamnya atas khidmat profesional mereka dalam kes tersebut.
Sebelum ini, Syahredzan memfailkan saman fitnah terhadap Shafie pada Ogos 2023 selepas Shafie gagal memohon maaf dan membayar ganti rugi atas kenyataan yang didakwa memfitnah beliau semasa acara PN. Surat tuntutan telah dihantar kepada Shafie pada 12 Julai 2023.
Nnnn
