PKR, PH tidak dapat banyak kerusi

KOTA KINABALU 26 Sept. – PKR hanya bertanding di beberapa kerusi pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) akan datang manakala beberapa kerusi lagi ditandingi rakan parti dalam Pakatan Harapan (PH).

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, beliau menerima kedudukan PKR dan PH yang tidak mendapat banyak kerusi untuk ditandingi tetapi yang penting ialah hubungan baik antara negeri dan Persekutuan dapat dikekalkan selepas PRN.

“Masa pilihan raya nanti kita kena fikir baik-baik. Ada PKR tanding, contoh di Inanam, Peto (Datuk Peto Galim), ada dengan rakan dalam PH dan ada kawasan kita pakat sama-sama.

Ini supaya hubungan negeri dan Persekutuan kekal baik. Bagi PKR dan PH, ini yang mesti kita pastikan, tidak terlalu banyak kerusi tak mengapa.

“Kita, dalam puluhan kerusi itu akan jadi penentu, kita ada prinsip hidup kita. Parti ini perjuangan, ada orang bila susah ingat perjuangan, bila senang lupa,” katanya pada Himpunan Temu Rapat Umum sempena 27 Tahun Reformasi PKR di Dewan Pisompuruan Kampung Kobuni, di sini, hari ini.

Sementara itu, ketika ditanya pemberita selepas itu mengenai kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN), Anwar yang juga Pengerusi PH berkata pihaknya tetap bekerjasama dengan kedua-dua gabungan itu.

“Kita bekerjasama dengan BN dan kita juga bekerjasama dengan GRS. Itu yang kita beri perhatian pada ketika ini,” katanya.

Sebelum ini, Anwar sudah menjelaskan bahawa PH akan bekerjasama dengan BN dan GRS walaupun kedua-dua gabungan berkenaan tidak dapat menjalin kerjasama.

Ketua PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud sebelum ini menjelaskan rundingan tetap dijalankan dengan kedua-dua gabungan itu bagi menentukan kerusi yang akan ditandingi.

Difahamkan, menerusi rundingan dengan BN, PH dijangka mendapat kira-kira 30 daripada 73 kerusi, manakala rundingan dengan GRS hanya memperuntukkan 18 kerusi kepada PH.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata beliau tidak mahu ada sentimen dimainkan pihak tertentu yang menidakkan parti dari Semenanjung dalam politik negeri ini, menjelang PRN17.

Katanya, sebagai Perdana Menteri beliau memberi pertimbangan khas kepada Sabah dan Sarawak dalam soal pembangunan sebagai bukti rakyat di kedua-dua negeri mendapat perhatian yang sewajarnya dari kerajaan Pusat.

Keadaan itu, katanya mengambil kira fakta bahawa kedua-dua negeri masih ketinggalan berbanding Semenanjung kerana merdeka menerusi pembentukan Malaysia pada 1963, berbanding Semenanjung yang sudah merdeka lebih awal pada 1957.

Sehubungan itu, katanya adalah tidak wajar kemasukan parti Semenanjung atau Malaya ke Sabah dijadikan isu bagi mengelirukan rakyat negeri ini.

“Ada yang cakap parti Malaya, apa parti Malaya, lebih banyak dibelanja di Sabah berbanding di tempat lain sebab Sabah menghadapi masalah, jadi kita kena ingat. Saya lihat tadi sekolah lantai pecah-pecah mesti bangunkan semula, ini dasar kita jaga kepentingan rakyat.

“Ada yang kata kita tak peduli rakyat Sabah, saya sangat tak setuju sentimen ini. Saya datang Sabah puluh tahun, sebagai Perdana Menteri dan sebelum ini Timbalan Perdana Menteri dan Ketua PKR, Pengerusi PH, ada balak saya minta, ada tanah saya minta?” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment