KUALA LUMPUR 11 Ogos – Sepasukan sembilan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman digerakkan ke Kontinjen Sabah bagi mengambil alih siasatan kes kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Menurut kenyataan Pejabat Urus Setia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) Polis Diraja Malaysia (PDRM), pasukan petugas khas itu adalah sebahagian daripada komitmen bagi memastikan siasatan dilaksanakan secara telus dan menyeluruh.
“PDRM memandang serius setiap kes yang membabitkan kehilangan nyawa,” kata kenyataan itu.
Justeru, PDRM menyeru masyarakat memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dengan profesional serta mengelak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan.
Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara (AGC) memulangkan semula laporan penuh siasatan awal berhubung kes kematian pelajar Tingkatan Satu itu kepada PDRM untuk dilengkapkan sebelum mengambil tindakan lanjut.
Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata laporan itu diserahkan semula berserta arahan berhubung beberapa perkara untuk dibuat penelitian.
AGC memaklumkan pihaknya telah menerima laporan penuh siasatan awal berhubung kes itu pada 3 Ogos di Cawangan Sabah dan 4 Ogos di Ibu Pejabat Jabatan Peguam Negara di Putrajaya.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, Sabah pada 17 Julai lepas.
Pelajar itu dibawa ke hospital terbabit selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 4 pagi, 16 Julai
Semalam, proses bedah siasat jenazah dibuat di Jabatan Forensik HQE Kota Kinabalu, Sabah, berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.
Peguam Shahlan Jufri yang menyaksikan proses itu atas permintaan keluarga arwah bermula dari jam 11 pagi hingga jam 7.30 malam, melihat sendiri prosedur itu dari mula hingga akhir.
Sebaik selesai bedah siasat selama lapan jam, jenazah dikebumikan semula malam tadi yang mengambil masa kira-kira 30 minit dan selesai sekitar pukul 1 pagi.
Nnnnn
