MIC tolak jawatan Timbalan Menteri

SEPANG 8 Dis. –  Selepas ‘rebah’ dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan tidak disenaraikan menganggotai Kabinet, MIC parti komponen Barisan Nasional (BN) tidak akan menerima sebarang jawatan Timbalan Menteri yang ditawarkan.

Setiausaha Agungnya, R T Rajasekaran berkata, pendirian itu dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pusat (CWC) MIC semalam selain menghormati pilihan pengundi ketika PRU15.

“MIC mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10. MIC juga merakamkan sokongan kepada titah Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) untuk menyokong Kerajaan Perpaduan.

“Semoga Perdana Menteri dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan sempurna dan adil untuk semua kaum di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

MIC yang memenangi dua kerusi pada PRU14 – Tapah dan Cameron Highlands pada kali ini hanya mampu mempertahankan kerusi Tapah yang dimenangi oleh bekas Menteri Sumber Manusia M Saravanan.

Timbalan Presiden MIC itu mempertahankan kerusi Tapah dengan majoriti 5,046 mengalahkan calon PH, Saraswathy Kandasami.

Dalam pertandingan enam penjuru itu, Saravanan memperoleh 18,398 undi menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), K Saraswathy yang memperoleh 13,334 undi; Perikatan Nasional (PN), Datuk Muhammad Yadzan Mohammad 12,115; Pejuang, Mior Nor Haidir Suhaimi 335; Warisan, Mohamed Akbar Sherrif Ali Yasin 200 dan calon Bebas, M Kathiravan 99.

MIC menamatkan cabaran PRU15 di Padang Serai semalam dengan calonnya, anggota CWC, C Sivarraajh yang mewakili BN memperoleh 2,983 undi.

Bagaimanapun jumlah undi itu adalah selepas BN mengumumkan untuk menarik diri beberapa hari menjelang hari pengundian bagi memberi laluan kepada calon PH mempertahankan kerusi berkenaan.

Pada PRU15, MIC menurunkan 10 calon berbanding sembilan pada PRU14 dengan diketuai Presidennya SA.Vigneswaran yang bertanding di P062 Sungai Siput,  kubu kuat bekas Presiden, S.Samy Vellu.

Beliau bagaimanapun tewas kepada PH yang menang dengan majoriti 1,846.

Turut bertanding Naib-naib Presiden iaitu T.Mohan di P094 Hulu Selangor;  T.Murugiah P.076 Teluk Intan; A.Kohilan Pillay P.115 Batu; Bendahari Agung, M Ramasamy P.140 Segamat.

Turut sama Ketua Wanita Mohana Muniandy P.112 Kuala Langat; anggota CWC P.Kamalanathan P.132 Port Dickson dan Kajendran P.111 Kota Raja.

Sebelum ini, selain Sungai Siput dan Tapah, antara kerusi yang pernah dimenangi MIC adalah Segamat, Hulu Selangor dan Port Dickson.

Related posts

Leave a Comment