SHAH ALAM 11 Ogos – Sempena sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Ke-80 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, Disember depan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menawarkan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) siri ‘SIS’.
Selangor Royal Office dalam satu kenyataan, memaklumkan penawaran NPI dengan tanda indeks ‘SIS’ yang membawa maksud ‘Sultan Idris Shah’, Sultan Selangor ke-9 itu juga adalah sempena Jubli Perak pemerintahan baginda pada tahun depan.
Kementerian Pengangkutan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menawarkan NPI ‘SIS’ secara bidaan dalam talian melalui Sistem JPJeBid, bermula
15 Ogos dan ditutup pada 10 malam 19 Ogos, manakala tarikh keputusan 20 Ogos.
Kaedah penawaran secara bidaan ini adalah tertakluk kepada terma dan syarat sedia ada yang ditetapkan melalui Sistem JPJeBid manakala harga bidaan adalah mengikut harga minimum yang telah ditetapkan oleh pihak JPJ.
Menurut kenyataan itu, sebahagian hasil jualan NPI itu akan disalurkan ke sebuah yayasan di bawah naungan Sultan Selangor yang akan digunakan untuk aktiviti kebajikan termasuk biasiswa dan dana kecemasan bagi membantu mereka yang memerlukan, seperti dalam tragedi bencana alam.
Yayasan itu akan dipengerusikan oleh Ahli Dewan Diraja Selangor yang juga mantan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Muhammad Ibrahim, dan diuruskan tertakluk kepada prosedur serta tadbir urus yang telus.
“Untuk rekod, JPJ akan menjadi satu-satunya entiti menguruskan penjualan NPI ini dan tiada pihak ketiga akan terbabit dalam proses berkaitan,” kata kenyataan itu.
Nnnn
