Fadhlina tidak perlu defensif berdepan isu

KUALA LUMPUR 11 Ogos – Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, tidak perlu defensif dalam isu kematian pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Papar, Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ini kerana isu ini adalah perkara asas iaitu berkaitan keselamatan anak-anak di sekolah.

“Sebagaimana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah memberikan komitmen untuk siasatan adil dan telus untuk menjawab pelbagai persoalan. Saya berharap Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, tidak perlu defensif dalam perkara ini.

“Kita tidak boleh menuding jari kepada ibu bapa yang membuat spekulasi, dan sebagainya, yang penting adalah kita menunjukkan bahawa kerajaan akan mengambil tindakan serius dan tidak memperkecilkan kebimbangan disuarakan oleh masyarakat di luar sana,” katanya.

Bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam itu berkata demikian ketika membangkitkan isu buli terhadap Zara Qairina ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, hari ini.

Nik Nazmi juga berkata, isu buli kini mendapat satu perhatian yang sangat luas dan sekiranya perlu ada satu anjakan dalam sistem pendidikan, maka kerajaan perlu lakukan untuk memastikan keselamatan anak-anak terjamin.

“Soal kemenjadian murid, soal pencapaian mereka dalam pendidikan dan sebagainya tidak akan menjadi tumpuan kalau soal keselamatan pelajar pun tidak dapat kita jamin,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen PN Rantau Panjang,  Siti Zailah Mohd Yusoff yang turut membangkitkan isu sama mempersoalkan mengapa tidak ada bedah siasat awal yang dilakukan ke atas jenazah sebaik kematian dilaporkan.

Beliau juga mendesak Kementerian Pendidikan (KPM) memperkenalkan SOP khusus untuk menangani kes buli sekolah selain memperjelaskan kaedah pemantauan di sekolah berasrama dan bentuk hukuman terhadap pelaku buli tanpa mengira latar belakang.

Siti Zailah juga ingin tahu apakah langkah konkrit yang sudah diambil untuk menangani masalah buli di sekolah.

Beliau juga berharap KPM mengadakan SOP khusus untuk mencegah kes buli yang berlaku di institusi pendidikan hari ini dan bagaimanakah pemantauan yang dilakukan di peringkat sekolah terutamanya di asrama.

“Apakah bentuk hukuman dan tindakan tegas yang telah dikenakan terhadap pelaku buli tanpa mengira latar belakang supaya menjadi pengajaran pada semua.

“Dan apakah strategi kerajaan untuk mengembalikan keyakinan ibu bapa terhadap sistem pendidikan dan keselamatan di sekolah dan di asrama?

“Sebab kita melihat hari ini apa yang berlaku penolakan secara senyap daripada ibu bapa terhadap sistem asrama kerana tidak yakin dengan keselamatan anak-anak mereka,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment