Britain beri kata dua kepada Israel

LONDON – Britain memberi akan mengiktiraf negara Palestin menjelang September ini sekiranya rejim Zionis Israel gagal menghentikan serangan di Gaza dan bersetuju terhadap pelan damai jangka panjang.

Perdana Menteri Britain, Keir Starmer yang memberi kata dua itu pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet berkata, pengiktirafan terhadap Palestin adalah sebahagian usaha menyokong penyelesaian dua negara yang berimpak besar.

Starmer mengulangi kenyataan sebelum ini bahawa pengiktirafan terhadap negara Palestin akan dilakukan apabila ia dapat menyumbang secara maksimum kepada proses damai yang sebenar.

“Kini, saya sahkan, United Kingdom akan mengiktiraf negara Palestin di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada September ini, sekiranya Israel tidak mengambil langkah konkrit untuk menghentikan krisis kemanusiaan di Gaza, bersetuju terhadap gencatan senjata dan komited kepada penyelesaian dua negara,” katanya.

Kenyataan itu dibuat sehari selepas beliau menzahirkan rasa kecewa terhadap penderitaan penduduk Gaza, termasuk imej menyayat hati kanak-kanak kelaparan yang kini tular di seluruh dunia.

Bagaimanapun kenyataan itu mendapat reaksi keras daripada Kementerian Luar Israel yang menyifatkan langkah tersebut sebagai ‘ganjaran buat Hamas’ dan hanya akan merencatkan usaha damai serta pembebasan tebusan yang masih ditahan.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump turut menyuarakan kebimbangan senada dengan Israel dan menyifatkan pendekatan London dan Paris sebagai ‘memberi ganjaran kepada keganasan.’

Terdahulu, Presiden Perancis, Emmanuel Macron juga menyatakan komitmen untuk mengiktiraf negara Palestin pada September menjadikan Perancis negara G7 pertama mengambil pendirian tersebut.

Langkah Starmer turut mendapat pujian dari beberapa negara, termasuk Arab Saudi dan Naib Presiden Pihak Berkuasa Palestin, Hussein Al Sheikh, yang menyifatkannya sebagai tanda sokongan terhadap undang-undang antarabangsa dan legitimasi rakyat Palestin.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment