KUALA LUMPUR 19 Jun – Bersatu mengucapkan terima kasih kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Mohd Ammar Nik Abdullah yang telah mengumumkan kekosongan luar jangka bagi kerusi DUN Nenggiri.
Presidennya, Muhyiddin Yassin berkata, kekosongan itu susulan notis yang dihantar Bersatu kepada Speaker DUN Kelantan berhubung terhentinya keahlian ADUN Nenggiri dari parti secara serta-merta kerana melanggar Fasal 10.4 Perlembagaan Bersatu.
“Keputusan Speaker DUN Kelantan ini selaras dengan Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan yang memperuntukkan berlakunya kekosongan luar jangka bagi kerusi DUN yang wakil rakyatnya terhenti keahlian partinya secara serta-merta.
Peruntukan ini adalah selaras dengan undang-undang antilompat parti di bawah Perlembagaan Persekutuan,” kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu dalam satu kenyataan.
Muhyiddin berkata, kekosongan luar jangka yang diumumkan menunjukkan bahawa pindaan perlembagaan Bersatu mengenai antilompat parti dan notis terhenti keahlian parti secara serta-merta yang dikeluarkan kepada wakil-wakil rakyat yang berkenaan adalah teratur dan mengikut kehendak undang-undang.
Susulan pengisytiharan itu juga, Bersatu bersama-sama parti anggota PN bersedia menghadapi pilihan raya kecil DUN Nenggiri yang akan diadakan pada tarikh yang akan ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Insya-Allah dengan izin Allah SWT dan dukungan rakyat, kita akan beroleh kemenangan,” kata Muhyiddin.
Terdahulu Mohd Amar mengumumkan kerusi DUN Nenggiri, yang diwakili Mohd Azizi Abu Naim dari Bersatu diisytiharkan kosong mulai hari ini.
Menurut Mohd Amar, kekosongan itu dibuat selepas DUN menerima notis bertulis mengikut Fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Tubuh Negeri Kelantan daripada Mohd Azizi pada 13 Jun dan Bersatu pada 12 Jun lalu.
Menurut beliau, notis itu memaklumkan mengenai hilang keahlian Bersatu menyebabkan kekosongan luar jangka kerusi berkenaan.
Mohd Azizi yang juga Ahli Parlimen Gua Musang sebelum ini dilaporkan sudah digugurkan keahliannya selepas mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
nnn
