Negeri angkat bantu UMNO Sabah hadapi PRN

BESUT 25 Julai – Bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat, UMNO melantik beberapa negeri sebagai negeri angkat bagi membantu jentera pilihan raya parti itu.

Timbalan Presiden UMNO Mohamad Hassan, berkata proses pembahagian zon dan kawasan tumpuan kepada jentera parti dari negeri angkat berkenaan telah selesai dilaksanakan.

Katanya, jentera Kelantan sudah bergerak ke Sabah, semalam, dan ditugaskan di bahagian timur negeri itu, manakala Terengganu diarah menguruskan Tawau, Sandakan dan Kudat.

Manakala jentera UMNO dari Negeri Sembilan dan Melaka digerakkan untuk membantu gerak kerja parti di sekitar Kota Kinabalu, Penampang, Putatan serta Sepanggar.

“Bilik gerakan UMNO membantu menyusun pergerakan dan menetapkan kawasan tumpuan negeri angkat bagi melicinkan gerak kerja jentera menghadapi PRN Sabah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Besut di Gong Kemuntong di sini, hari ini.

Sabah kini menjadi tumpuan berikutan Dewan Undangan Negeri (DUN) dijangka dibubarkan dalam masa terdekat.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, dilapor membayangkan akan mengumumkan sesuatu yang ‘besar’, esok, membabitkan hala tuju Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menjelang PRN Ke-17 (PRN17).

Persidangan Agung Tahunan Gagasan Rakyat akan berlangsung esok dengan majlis perasmian dijadual disempurnakan Hajiji selaku Presiden parti itu.

PRN17 Sabah dijangka diadakan lebih awal daripada tempoh tamat penggal DUN pada November depan.

Related posts

Leave a Comment