Runcing di hospital, pusat perubatan Gaza

BANDARAYA GAZA – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memutuskan untuk menghentikan bekalan diesel kepada lebih 20 hospital dan pusat kesihatan di wilayah terkepung itu berikutan kekurangan dana.

Menurut Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Gaza Munir al-Bursh, WHO mengumumkan penggantungan bekalan diesel kepada lebih 20 hospital dan pusat kesihatan bermula 19 September akibat kekangan dana.

Katanya , langkah itu juga berikutan kekurangan bahan api dan minyak yang ketara, serta kegagalan untuk membekalkan jumlah minimum yang diperlukan bagi mengendalikan hospital dan pusat kesihatan di Semenanjung Gaza.

Beliau berkata kuantiti bahan api yang terhad yang sampai ke wilayah berkenaan hanya mencukupi untuk membolehkan kemudahan kesihatan beroperasi pada tahap minimum.

Berikutan penghentian itu, ia bukan sekadar generator terhenti, tetapi  penutupan dewan bedah dan unit rawatan rapi, gangguan kepada mesin bantuan pernafasan serta stesen oksigen, sekali gus mengancam nyawa bayi dalam inkubator, pesakit dialisis, mangsa yang cedera dan mereka yang menghidap  penyakit kronik.

Krisis itu turut melumpuhkan perkhidmatan ambulans serta rantaian penyejuk bagi penyimpanan ubat-ubatan dan vaksin.

Bursh menyifatkan pemotongan bahan api dari hospital sebagai “pembunuhan senyap terhadap pesakit di katil mereka”.

Justeru beliau menggesa WHO, negara penderma serta komuniti antarabangsa untuk memikul tanggungjawab mendesak dengan memastikan kelangsungan bekalan bahan api dan minyak dalam kuantiti yang mencukupi serta selamat.

Gangguan bekalan bahan api itu berpunca daripada tindakan Israel menutup pintu sempadan Kerem Shalom sejak Oktober 2023 serta pendudukan dan kawalan tentera Israel ke atas pintu sempadan Rafah antara Gaza dan Mesir sejak Mei 2024.

Related posts

Leave a Comment