KUANTAN – Gelaran dan darjah kebesaran bukan perisai untuk bermaharajalela, malah juga bukan perhiasan di dada atau kebanggaan pada majlis keramaian, titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Sebaliknya baginda, kurniaan itu adalah lambang kemuliaan, amanah yang bersulam maruah, dan penghormatan yang hanya layak kepada mereka yang memelihara integriti serta menjunjung tinggi undang-undang negeri.
Malahan darjah kebesaran itu juga tidak boleh serta tidak akan menjadi pelindung kepada sesiapa yang melanggar hukum, mengkhianati tanah negeri atau menodai keadilan.
Justeru baginda menegaskan tidak akan berdiam diri apabila kehormatan yang diberi, digunakan untuk menindas, mencuri hasil negeri atau mencemarkan nama baik institusi diraja.
“Mulai saat ini, mana-mana individu yang dianugerahkan gelaran Dato’, Dato’ Indera, Dato’ Sri atau yang seumpamanya tetapi terbukti terbabit kes jenayah, rasuah pencerobohan tanah, perlombongan haram atau pembalakan tanpa permit, akan dikenakan tindakan penggantungan atau penarikan balik gelaran serta-merta,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat Pahang sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-66 Sultan Pahang di Istana Abdulaziz di sini, hari ini.
Titah baginda, setakat ini, terdapat seramai 49 daripada 67 individu yang ‘menunggu giliran’ untuk proses penarikan semula darjah kebesaran yang telah dikurniakan sebelum ini, membabitkan pelbagai pelanggaran.
Segelintir individu tanpa segan-silu ‘memetik’ nama baginda selaku Sultan Pahang atau mengaitkan nama Istana Pahang kononnya mendapat restu, perkenan atau perlindungan sedangkan perkara itu tidak pernah wujud.
Mengenai pencerobohan tanah haram pula, baginda mahu seluruh jajahan negeri diperiksa, disiasat dan dikuatkuasakan dengan penuh ketegasan, selain tindakan serta penguatkuasaan diperluaskan ke seluruh negeri.
“Beta tidak mahu industri pertanian Pahang, terutama industri durian yang menjadi kebanggaan, menerima nasib seperti di negara jiran yang kini dimonopoli serta tidak lagi berdaya saing akibat pengurusan tanah yang lemah dan dasar yang ragu-ragu,” titah baginda.
Dalam pada itu, baginda menzahirkan dukacita terhadap pihak yang memilih untuk menjadi pembakar api dan bukannya penyejuk suasana, malah ada yang secara halus meniup bibit perpecahan antara kaum serta agama.
“Beta menyeru khususnya kepada anak muda, jadilah pengguna media sosial yang bijaksana. Gunakan suara dan jari kalian untuk membina bukan memecah, serta untuk menyatu bukan menyingkir,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah turut menyentuh mengenai aspek kesihatan, dan mahu pembinaan hospital di Maran disegerakan kerana ia bukan lagi bersifat pilihan tetapi satu keperluan yang mendesak serta nyata.
Pahang juga mesti menjadi sebuah negeri yang mesra perusahaan kecil dan sederhana, membuka peluang kepada pelbagai bidang serta perusahaan dari seluruh negara, dan usahawan tidak seharusnya terhalang oleh kerenah birokrasi.
Nnnn
