KUALA LUMPUR 26 Julai – Anwar Ibrahim mengundang semua pihak untuk terus berdialog dan berwacana, mencari titik temu, melakar serta membina negara secara bersama, tidak sekadar di jalanan.
Perdana Menteri dalam kenyataan disiarkan di platform media sosial, malam ini berkata, semua pihak perlu bangkit menelaah, menggapai dan menguasai lapangan baharu supaya negara dilonjak ke depan secara mantap dan bertenaga.
Beliau mengeluarkan kenyataan itu selepas berakhirnya perhimpunan aman Himpunan ‘Turun Anwar’ yang turut disertai pemimpin parti pembangkang di Dataran Merdeka petang ini.
Anwar berkata, sebagai Perdana Menteri, beliau kekal dan konsisten berpegang pada prinsip yang demokratik yakni kebebasan bersuara dan menyatakan kritikan.
“Kritikan dan perbedaan pandangan tidak seharusnya dilihat dari lensa permusuhan, malah ia harus terus bercambah dan subur mekar menjadi denyut nadi negara bangsa yang matang, progresif dan berdaulat.
Yang penting, ia harus berjalan dengan tertib, aman dan dalam semangat cintakan tanah air.
Prinsip yang sama telah kami semangati melalui Sesi Pertanyaan Perdana Menteri (Prime Minister’s Question Time, PMQT) di Parlimen di mana Ahli-ahli Parlimen bebas bertanyakan terus apa sahaja soalan, mengangkat bangkangan kepada saya selaku Perdana Menteri secara terus.
Mohon kalian terus desak Ahli-ahli Parlimen untuk terus hadir dan aktif mengambil bahagian di semua sesi, terutamanya sesi PMQT,” katanya.
Kepada mereka yang hadir pada himpunan itu sama ada yang menyuarakan pandangan, menyatakan solidariti, Anwar mengucapkan selamat pulang ke destinasi masing-masing dengan harapan perjalanan mereka dipermudah dan dilindungi.
“Andai kalian berkesempatan lagi pada masa hadapan, jangan lupa untuk kembali ke Kuala Lumpur.
Mercu tanda bersejarah di sekitar ibu kota, termasuk Bangunan Sultan Abdul Samad di Dataran Merdeka, kini sedang dalam pemuliharaan secara besar-besaran supaya kita dapat tingkatkan pelancongan dan mendukung ekonomi di sekitar ibu kota yang sarat nilai sejarah, harapan dan semangat nasional.
Ini terutama bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026 kelak dan pelbagai aktiviti menarik menanti, Insya-Allah,” katanya.
Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada semua petugas pasukan keselamatan, sama ada polis, bomba, pasukan perubatan dan sukarelawan yang bertugas dengan tangkas, disiplin dan dedikasi tinggi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam serta memastikan kelancaran himpunan hari ini.
Himpunan Turun Anwar yang dihadiri rakyat sejak pagi lagi berkumpul di lokasi berbeza termasuk di Dataran Sogo, Masjid Negara dan Masjid Jamek sebelum berarak dan tiba di lokasi utama di Dataran Merdeka, di sini, mulai pukul 2.15 petang.
Hadir sama pemimpin utama parti pembangkang dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Nnnj
