UMNO masih berdepan krisis kepercayaan rakyat

KUALA LUMPUR 15 Jan. – Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh mengingatkan pimpinan UMNO bahawa parti itu perlu menerima realiti semasa bahawa krisis kepercayaan rakyat yang dihadapi UMNO masih belum pulih sungguhpun parti kini menjadi sebahagian kerajaan.

Tegasnya, UMNO tidak boleh menyembunyikan hakikat itu, sebaliknya perlu bangkit memulihkan semula keyakinan rakyat di akar umbi.

“Percaya atau tidak, setuju atau tidak, inilah hakikat yang tak boleh lagi kita sorok. Tahun pertama, tahun kedua, tahun ketiga bolehlah kita sorok dalam hati. Kita boleh bagi tahu ‘tak apa, kita masih ada masa lagi nak kembalikan kepercayaan rakyat terhadap kita’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO 2025, di sini hari ini.

Akmal berkata, biarpun parti sudah melakukan pelbagai usaha, termasuk prestasi baik menteri, menteri besar dan ketua menteri mewakili UMNO, kepercayaan rakyat masih belum dipulihkan sepenuhnya.

Beliau juga pada masa yang sama membangkitkan kebimbangan mengenai budaya ‘denial syndrome’ atau sindrom penafian yang didakwa membelenggu UMNO.

Katanya , ia jelas terbukti apabila ramai dalam kalangan pemimpin menganggap parti keramat itu berada dalam keadaan ‘okay’ sedangkan hakikatnya jauh berbeza di peringkat akar umbi.

“Kita masih boleh bercakap ramai datang (ke Perhimpunan Agung UMNO) dan sokongan kita masih kuat, tetapi kita tahu hakikat sebenar yang berlaku di kedai kopi, di ceruk kampung… apa makna hari ini kita datang (ke perhimpunan), tetapi tak nyatakan hakikat sebenar.

“Hari ini kita kata (UMNO masih) ‘okay’ sebab kita ada jawatan, menteri yang boleh kita tunjukkan (bakti khidmat)… kita boleh tipu diri, yakinkan diri, kita ada jawatan dan ada dalam pentadbiran kerajaan, kita boleh tipu dalam diri, insya-Allah rakyat boleh beri sokongan kerana kita berada dalam kerajaan.

“(Namun) hakikat tak begitu… kita duduk di kampung-kampung, tempat budak-budak lepak, kita tahu (realitinya),” katanya.

Beliau menarik perhatian mengenai dua pilihan raya umum yang menyaksikan berturut-turut UMNO tewas dan jumlah undi makin mengecut tetapi masih juga berbisik pada diri, okay tetapi di peringkat akar umbi hakikatnya jauh sekali berbeza.

Tegasnya, jika benar parti mahu kembalikan kepercayaan rakyat di bawah ini, maka dalam perhimpunan kali ini, wajib perwakilan bercakap benar, jangan tipu, bawa dan usulkan apa yang perlu parti lakukan.

“Kita kena bercakap dalam bahasa rakyat, suarakan suara rakyat. Walau pahit macam mana pun, kalau itulah kebenaran, wajib kita telan,” katanya.

Beliau juga menegaskan Pemuda UMNO tidak akan takut dan gentar untuk terus memainkan peranan sebagai ‘loceng kecemasan’ untuk memastikan tiga ‘garis merah’ tidak dilanggar mana-mana pihak.

“Walaupun kita duduk dalam satu pasukan, saya nak ulang sekali lagi, kita boleh berkawan, tetapi kalau kamu sentuh agama kami, kalau kamu sentuh bangsa kami, kalau kamu sentuh Raja-raja kami, mari sini kamu berdepan dengan Pemuda UMNO Malaysia. Tak kira kamu menteri, ketua menteri atau jawatan apa sekalipun.

“Untuk Pemuda menyerah, tidak akan sama sekali menyerah,” katanya.

Mengenai DAP, walaupun ada pemimpin yang mengatakan DAP boleh berubah, apabila UMNO duduk bersama DAP tetapi hakikatnya adalah sebaliknya.

“Saya tak pernah dengar ada pemimpin DAP cakap ‘Datuk Seri Presiden UMNO sudah baik’, tak pernah pun tuan-tuan. Apa yang saya dengar adalah ketika Datuk Seri Presiden dapat NFA, mereka kutuk dan caci lagi ada,” katanya merujuk kes membabitkan Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment