Kuasai bahasa Arab di universiti tempatan

BANGI 19 Julai – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mengingatkan pelajar tajaan kerajaan negeri dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) supaya mempelajari dan menguasai bahasa Arab di universiti Islam tempatan terlebih dahulu sebelum melanjutkan pengajian ke universiti di negara Asia Barat.

Baginda menegaskan ,langkah itu penting bagi memastikan pelajar benar-benar bersedia dari segi kemahiran bahasa dan kefahaman asas sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi di luar negara.

Justeru baginda menitahkan kerajaan negeri menumpukan penajaan kepada pelajar universiti Islam tempatan seperti Universiti Islam Selangor (UIS) kerana universiti Islam di negara ini juga berkeupayaan menyediakan pendidikan berkualiti tinggi.

Bertitah pada Istiadat Pemasyhuran dan Konvokesyen ke-27 UIS, di Bandar Seri Putra, Kajang, hari ini, baginda sedar terdapat pihak-pihak yang tidak setuju dan mengkritik ketetapan dan dasar baharu berkaitan tajaan pelajar.

Menurut baginda ini kerana masih ramai ibu bapa yang mahukan anak-anak mereka menyambung pelajaran di universiti di Timur Tengah.

“Namun demikian, Beta berpendapat bahawa dalam situasi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan JAIS, telah menyediakan banyak sekolah agama di Selangor yang mempunyai tahap pencapaian akademik yang baik di samping menghasilkan pelajar-pelajar cemerlang.

“Maka adalah bersesuaian untuk kita manfaatkan pelajar-pelajar cemerlang ini untuk ditempatkan di UIS yang telah kita wujudkan sebagai Institusi bagi kesinambungan pembelajaran pelajar-pelajar cemerlang ini,” titah baginda.

Pada 10 Mei lalu, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Mohd Shahzihan Ahmad dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook, memaklumkan kerajaan Selangor dan LZS tidak lagi meneruskan penajaan pengajian peringkat ijazah pertama ke Asia Barat mulai tahun ini, namun tajaan bagi pengajian di peringkat sarjana dan doktor falsafah masih diteruskan.

Dalam pada itu, baginda menegaskan bahawa UIS tidak seharusnya dijadikan sebagai universiti yang hanya mementingkan ilmu pengetahuan secara teori semata-mata, tetapi hendaklah menjadi universiti yang mematangkan pemikiran, menggilap keperibadian mulia dan mendidik jiwa murni supaya berjaya di dunia dan akhirat.

Baginda yakin UIS mampu menjadi pemangkin pembangunan ekonomi ummah dan berharap UIS terus menjalin kolaborasi strategik dengan universiti tempatan dan luar negara termasuk Universiti Al-Azhar, Mesir serta para penyokong industri demi mengukuhkan penyelidikan dan integrasi ilmu selari dengan perkembangan terkini.

Sementara itu, Naib Canselor UIS, Prof Dr Mohd Farid Ravi Abdullah menzahirkan penghargaan kepada semua graduan, ibu bapa serta warga universiti yang memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan para pelajar menamatkan pengajian.

“Konvokesyen ini bukan sekadar pengiktirafan terhadap pencapaian akademik tetapi juga permulaan kepada kemajuan negara.

Kami yakin dengan ilmu dan nilai murni yang diterapkan sepanjang pengajian, para graduan UIS msmpu menjadi ejen perubahan dan inovasi di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment