BAYAN LEPAS 19 Julai – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau tidak akan sesekali meletakkan jawatan seperti didesak oleh segelintir pihak, kecuali jika kalah melalui usul di Parlimen.
Menteri Kewangan itu berkata sekiranya pembangkang mempunyai cukup sokongan, mereka boleh membawa usul di Parlimen mengikut saluran demokrasi sedia ada.
“Gunakan Parlimen, kritiklah. Kalau dia (pembangkang) ada cukup jumlah, dia bawa usul, itu caranya. Tariklah mana-mana Ahli Parlimen untuk sokong mereka. Kalau saya kalah, saya letak jawatan secara baik. Itu cara aman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Kompleks MADANI Teluk Kumbar, dekat sini hari ini.
Menurut Perdana Menteri, beliau tidak akan sesekali meletakkan jawatan seperti didesak oleh segelintir pihak, selagi tidak terbabit dengan penyelewengan atau penyalahgunaan kuasa.
Beliau berpegang teguh kepada pendirian itu dan akan terus fokus menjalankan amanah untuk membangunkan rakyat serta negara.
“Insya-Allah saya tidak turun, kalau saya curi duit orang suruh turun, tak apalah. Tapi saya tidak curi duit orang. Saya jadi Perdana Menteri hampir tiga tahun, mana ada kontrak (projek) kita bagi secara rundingan terus, semuanya melalui proses tender,” katanya
Anwar turut menegaskan Kerajaan MADANI pimpinannya sedang bekerja keras untuk membangunkan negara termasuk menangani masalah kos sara hidup.
Katanya pelbagai inisiatif sedang dilaksana termasuk peningkatan gaji minimum, bantuan kepada pesawah miskin, peluasan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), penambahan perumahan mampu milik untuk golongan B40 serta penambahbaikan skim gaji penjawat awam.
Beliau mengakui tidak mampu menyelesaikan semua permasalahan negara dalam tempoh singkat, namun kerajaan sedang berusaha sebaik mungkin demi kesejahteraan rakyat.
Nnnn
