KUALA LUMPUR 17 Sept. – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan segera dan menyeluruh terhadap kes dakwaan jenayah serta penganiayaan kanak-kanak yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH).
Dalam satu kenyataan menerusi Facebook rasmi, Seri Paduka bertitah, baginda memandang serius terhadap isu berkenaan selepas pelbagai berita dilapor serta disiarkan dalam media massa berkaitan rumah amal berkenaan.
“Perkara berkaitan akidah umat Islam seharusnya dipelihara setiap masa dan tidak boleh dipandang ringan.
“Justeru, saya menasihati semua pihak supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau pandangan yang melampau berkaitan isu agama kerana ia amat sensitif dan mesti ditangani dengan berhati-hati.
“Saya mahu siasatan menyeluruh dijalankan dan tindakan segera diambil,” titah baginda.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, berkata, siasatan polis terhadap GISBH berkait ekploitasi kanak-kanak mungkin akan mula menjurus kepada kegiatan jenayah terancang.
Bagaimanapun pada peringkat ini siasatan polis masih tertumpu bagi kertas siasatan fasa pertama dan kedua Op Global.
“Ya, siasatan kita (polis) juga menjurus ke arah itu,” katanya pada sidang media di PULAPOL Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Razarudin berkata, siasatan pihaknya mendapati terdapat struktur organisasi yang jelas dalam pengoperasian rumah amal terbabit.
“Rumah amal itu dibahagikan kepada beberapa zon yang mana terdapat seorang pengurus yang bertanggungjawab menyelia beberapa rumah bagi setiap zon.
Di bawah pengurus pula, di setiap rumah amal itu mempunyai penjaga yang mengendalikan kanak-kanak iaitu abang atau kakak yang berusia lebih 18 tahun.
“Berdasarkan temu bual terhadap mangsa, kita dimaklumkan kanak-kanak ini berpindah-randah dari satu rumah amal ke rumah amal lain, mereka tidak tinggal satu tempat sahaja.
“Itu antara modus operandi yang dikesan dipercayai untuk mengaburi pihak berkuasa,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini pihaknya masih belum mengambil keterangan pengurusan tertinggi GISBH bagi membantu siasatan.
Nnn
Bagaimanapun, katanya, polis sudah mengeluarkan perintah larangan meninggalkan negara terhadap mereka sebaik kertas siasatan dibuka.
(Foto fb Sultan Ibrahim)
Nnn
