KUALA LUMPUR 17 Julai – Pendirian DAP tidak berubah sama ada ketika menjadi pembangkang atau kerajaan dalam usaha membela nasib mendiang Teoh Beng Hock dan keluarganya, kata Setiausaha Agungnya, Anthony Loke.
Menteri Pengangkutan itu berkata, berlandaskan prinsip undang-undang, sepanjang 16 tahun lalu, komitmen parti itu tidak pernah berganjak untuk mencari kebenaran dalam kes Beng Hock.
“Pada bila-bila masa atau sekiranya muncul bukti baharu yang penting, DAP menegaskan komitmen tidak berbelah bahagi untuk memberikan sokongan undang-undang sepenuhnya.
“Memandangkan siasatan masih belum lengkap dan keputusan dicapai masih belum memenuhi harapan keluarga Beng Hock, DAP dengan rendah hati mengucapkan takziah dan penghormatan kepada keluarga beliau atas kehilangan yang tidak terubat ini,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Beng Hock, 30, yang juga Setiausaha Politik kepada Exco Selangor ketika itu, Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam selepas disoal siasat semalaman oleh SPRM.
Mahkamah Rayuan pada 2014 memutuskan kematiannya disebabkan perbuatan satu atau lebih individu yang tidak dikenali ketika dalam tahanan SPRM.
Pada Mei lalu, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, mengesahkan kertas siasatan kes kematian Beng Hock diklasifikasi sebagai ‘Tiada Tindakan Lanjut’ (NFA), selepas Pejabat Peguam Negara meneliti keseluruhan keterangan dalam kertas siasatan dikemukakan polis.
Semalam, pada hari ulang tahun ke-16 kematian Beng Hock, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, mengutuskan permohonan maaf dan simpati terhadap penderitaan ditanggung keluarga mendiang.
Bagaimanapun, pada satu sesi sidang media bersama Persatuan Teoh Beng Hock untuk Perkembangan Demokrasi (TBH-ADA) malam tadi, keluarga mendiang menyifatkan permohonan maaf oleh Azam sebagai tidak ikhlas dan sekadar sandiwara publisiti.
Sementara itu, Loke berkata, sokongan dan pampasan diberikan kerajaan kepada keluarga Beng Hock tidak bersyarat, jadi mereka masih bebas menyuarakan pandangan termasuk menuntut keadilan.
“Keluarga Beng Hock kekal bebas menyuarakan pandangan, termasuk meneruskan usaha menuntut keadilan bagi Beng Hock melalui apa juga bentuk advokasi awam,” katanya.
Mengenai permohonan maaf terbuka oleh Azam, Loke berkata, ia yang pertama dibuat SPRM kepada keluarga Beng Hock dalam tempoh 16 tahun, yang mencerminkan keikhlasan kerajaan Madani.
