Pelantikan hakim perlu patuhi peruntukan undang-undang

SEPANG 17 Julai  – Semua pihak diminta mengelak daripada membuat sebarang spekulasi dan tuduhan negatif tanpa memperoleh fakta yang lengkap dan sahih mengenai sesuatu perkara termasuk pelantikan hakim-hakim kanan mahkamah atasan.

Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah ketika menitahkan demikian menekankan keperluan mematuhi peruntukan undang-undang khususnya di bawah Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan mengenai proses dan tatacara pelantikan.

“Proses yang telah diperuntukkan ini perlu dilaksanakan secara telus dan berhati-hati demi memelihara kedaulatan undang-undang serta mendukung prinsip keadilan yang menjadi teras utama dalam pemerintahan negara,” titah baginda.

Semalam Sultan Sharafudin mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja selepas mesyuarat pre-council kelmarin.

Antara agenda utama yang dibincangkan adalah berkaitan rundingan bagi pelantikan Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Sabah dan Sarawak serta hakim-hakim mahkamah atasan.

Dalam satu kenyataan, baginda bersyukur kerana mesyuarat berjalan lancar dengan
agenda utama yang dibincangkan adalah berkaitan dengan rundingan bagi pelantikan Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Sabah dan Sarawak serta hakim-hakim mahkamah atasan.

“Dalam proses rundingan tersebut, Beta telah menekankan tentang keperluan untuk mematuhi setiap peruntukan undang-undang khususnya di bawah Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan tentang proses dan tatacara pelantikan hakim-hakim kanan mahkamah atasan.

Dalam hal ini, Beta menyokong penuh kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara bertarikh 10 Julai 2025 yang menyatakan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong boleh melantik Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan dan jawatan penting yang lain dalam badan kehakiman setelah mendapat nasihat Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja,” titah baginda.

Related posts

Leave a Comment