SEPANG 17 Julai – Sebarang keputusan untuk menggantung sembilan Ahli Parlimen PKR kerana menggesa penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung hal ehwal kehakiman tidak akan menyelesaikan masalah.
Sebaliknya bekas Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mengingatkan penggatungan akan menyebabkan PKR tinggal 22 kerusi, setaraf dengan parti seperti DAP, Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Nasihat saya, kalau main catur atau main dam haji, sebelum ghairah nak makan lawan, tengok dulu aturan kat sebelah kita. Menggantung sembilan ahli parlimen menyebabkan PKR tinggal 22 kerusi, lebih sedikit dari DAP, BN dan GPS.
“Menggantung kami memberi gambaran bahawa tidak ada ruang demokrasi dalam PKR, lebih-lebih lagi apabila ada ahli parlimen seperti Hassan Karim yang lebih teruk mengkritik Perdana Menteri sebelum ini, tetapi tidak ada tindakan pun,” katanya.
Ahli Parlimen Pandan itu merujuk desakan supaya beliau dan lapan lagi ahli parlimen PKR yang memulakan syor penubuhan RCI mengenai badan kehakiman digantung.
Sabtu lalu, 11 Ketua Cabang PKR Kedah dan 19 Ketua Cabang Johor menggesa sembilan Ahli Parlimen terbabit kelihatannya dipimpin Rafizi supaya digantung keahlian kerana dilihat melangkaui batas disiplin parti dan bercanggah dengan Kod Tataetika Anggota PKR di bawah Perkara 10.1 dan 10.2.
Susulan itu Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh, berkata parti itu sedang mempertimbangkan usul berkenaan dan laporan rasmi berhubung desakan terbabit akan dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dijadualkan berlangsung dalam tempoh dua minggu lagi.
Rafizi dalam kenyataannya mengingatkan bahawa PKR dibina atas prinsip keterlibatan demokrasi dan mengingatkan kepemimpinan parti agar tidak menyekat kritikan dalaman.
“Daya tarikan PKR selama ini datang daripada sifat dinamiknya yang organik dan keupayaan bertindak balas secara pantas terhadap keresahan rakyat,” katanya yang menegaskan bahawa mereka dibayar oleh rakyat untuk menjadi suara mereka.
Dalam nada sinis kepada ketua-ketua bahagian yang baru dipilih, Rafizi turut berkongsi peribahasa Melayu sebagai nasihat: “Sayang anak tangan-tangankan, sayang isteri tinggal-tinggalkan, sayang negara tegur-tegurkan.”
Nnn
