SEPANG 9 Julai – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin mengingatkan, kebebasan kehakiman tidak akan terjamin selagi Perdana Menteri berdepan isu undang-undang secara peribadi.
Katanya, Anwar Ibrahim sendiri sedang berhadapan dengan kes saman sivil di mahkamah berkaitan salah laku peribadi beliau di mana kepentingan Perdana Menteri dalam pelantikan hakim-hakim adalah jelas.
Dengan kata lain, Perdana Menteri yang mempunyai kuasa menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam pelantikan hakim-hakim termasuk Ketua Hakim Negara mempunyai konflik kepentingan yang jelas dalam menjalankan kuasa di bawah perlembagaan.
“Perdana Menteri juga sedang memohon imuniti untuk mendapatkan kekebalan bagi dirinya daripada sebarang tindakan saman. Hal ini tidak pernah terjadi sebelum ini yang melibatkan seorang Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan.
Justeru beliau tidak yakin Perdana Menteri akan membenarkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat kemelut pelantikan kehakiman dan campur tangan dalam keputusan mahkamah yang melibatkan Perdana Menteri.
Pada masa yang sama, penubuhan RCI memerlukan keputusan Kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri sendiri.
Katanya, Jabatan Peguam Negara (AGC) juga mengeluarkan kenyataan menolak kemungkinan penubuhan RCI bagi menyiasat kemelut pelantikan kehakiman dan campur tangan dalam keputusan mahkamah yang melibatkan Perdana Menteri.
AGC juga menolak peranan Jawatankuasa Pilihan Parlimen sebagai badan yang wajar terlibat dalam proses pelantikan hakim-hakim.
“Kenyataan ini mewakili pendirian rasmi kerajaaan. Ia adalah penolakan secara mentah-mentah terhadap desakan sembilan Ahli Parlimen penyokong kerajaan sendiri dari PKR yang menuntut kedua-dua perkara ini dilakukan bagi menjamin kebebasan badan kehakiman.
Desakan mereka ini adalah selari dengan kebimbangan munasabah Perikatan Nasional dan masyarakat sivil tentang kebebasan badan kehakiman ekoran Perdana Menteri sedang berhadapan dengan kes saman sivil di mahkamah berkaitan salah laku peribadi beliau.,” kata Muhyiddin.
Bekas Perdana Menteri itu mendakwa Malaysia sedang menyaksikan institusi-institusi utama negara dirosakkan oleh Perdana Menteri demi kepentingan peribadinya.
“Isu kebebasan badan kehakiman telah menunjukkan perkembangan yang baik di bawah pentadbiran kerajaan sebelum ini. Namun ianya telah merosot di bawah pentadbiran Kerajaan Madani,” katanya.
Beliau merujuk kenyataan oleh sekumpulan peguam terkemuka baru-baru ini yang mengesahkan bahawa kebebasan badan kehakiman lebih terjamin di bawah beberapa kerajaan terdahulu termasuk PN sebaliknya amat curiga dengan tahap kebebasan badan kehakiman di bawah kerajaan sekarang.
“Semasa menjadi Perdana Menteri, saya juga menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam pelantikan hakim-hakim selari dengan kehendak perlembagaan. Pada masa itu tidak pernah timbul apa-apa keraguan dalam urusan pelantikan hakim-hakim.
Ini kerana saya tidak pernah mencampuri urusan mahkamah walaupun didesak pelbagai pihak. Saya menghormati kebebasan badan kehakiman untuk menegakkan keadilan.
Isunya ialah siapa yang menjawat jawatan Perdana Menteri. Selagi mana orang yang menjadi Perdana Menteri mempunyai masalah peribadi yang membabitkan badan kehakiman, selagi itulah badan kehakiman tidak bebas,” katanya.
Muhyiddin juga percaya terdapat Ahli-Ahli Parlimen penyokong kerajaan yang mula sedar bahawa pemimpin mereka berada di jalan yang salah dan tidak lagi percaya kepada Perdana Menteri.
Katanya, janji reformasi institusi hanya tinggal janji sahaja yang tidak akan dilaksanakan malah institusi negara sedang dirobek dan kebebasan rakyat disekat semata-mata untuk memastikan Perdana Menteri kekal berkuasa.
Beliau percaya pelaksanaan dasar-dasar ekonomi yang membebankan seperti peluasan cukai SST, kenaikan tarif elektrik dan penghapusan pelbagai bentuk subsidi akan menyebabkan Perdana Menteri semakin tidak popular dan hilang sokongan rakyat.
“Apabila Perdana Menteri tidak lagi mendapat sokongan rakyat, satu-satunya cara untuk berkuasa ialah dengan mencengkam instusi negara dan menyekat kebebasan rakyat. Antara institusi yang dicengkam ialah badan kehakiman,” katanya.
Muhyiddin berkata, desakan ahli-ahli Parlimen penyokong kerajaan supaya langkah-langkah diambil untuk menjamin kebebasan badan kehakiman sudah pasti tidak akan didengar oleh Perdana Menteri.
Sebaliknya beliau khuatir lambat laun mereka akan menjadi mangsa tekanan Perdana Menteri dan Kerajaan Madani yang mereka sendiri sokong.
“Mereka tidak akan berupaya untuk menghadapi tekanan ini kerana mereka tidak ada kuasa.
Di negara-negara lain, Perdana Menteri yang berhadapan dengan situasi ini akan mengambil tanggungjawab moral untuk meletakkan jawatan. Anwar Ibrahim tidak akan mengambil tindakan yang bermoral ini,” katanya.
Beliau juga menjelaskan, satu-satunya kuasa yang ada pada Ahli-Ahli Parlimen penyokong kerajaan untuk mengubah keadaan ini ialah menyatakan hilang keyakinan kepada Perdana Menteri di Parlimen.
“Ini adalah tanggungjawab moral mereka di Parlimen.Apabila Perdana Menteri hilang keyakinan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat, menurut Perlembagaan Persekutuan Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan.
Apabila Perdana Menteri meletak jawatan, hilanglah mendung yang menyelubungi negara dan selamatlah negara ini. Inilah kuasa sebenar yang ada pada mereka,” katanya.
Nnnnn
