Tidak minat jawatan Presiden Pas

BESUT 9 Julai – Naib Presiden Pas Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, menolak kemungkinan bertanding jawatan Presiden parti yang kini disandang Abdul Hadi Awang pada pemilihan September depan.

Menteri Besar Terengganu itu berkata, jawatan yang disandang sekarang pun sudah berat sedangkan tanggungjawab sebagai Presiden Pas amat berat untuk dipikul.

“Tak timbul saya nak jawatan lain. Tidak, saya tak berhasrat merebut jawatan Presiden Pas,” katanya kepada pemberita ketika melawat Projek Stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Alor Keladi di sini, hari ini.

Mengenai kesediaan Naib Presiden Pas, Mohd Amar Nik Abdullah, menerima pencalonan bertanding jawatan Timbalan Presiden, Ahmad Samsuri menyerahkan keputusan berkenaan kepada pemilik tubuh.

“Biar dia buat keputusan sendiri, one hundred percent (sepenuhnya) atas pertimbangan beliau,” katanya.

Ditanya jika langkah Mohd Amar memilih untuk bertanding jawatan nombor dua parti boleh memberi kesan kepada pimpinan parti, Ahmad Samsuri menegaskan Pas membuka ruang kepada sesiapa sahaja menjadi pemimpin.

Katanya, Pas berdepan pelbagai muktamar sejak sekian lama dan parti itu berupaya menerima apa sahaja yang berlaku.

“Parti akan terus bergerak ke depan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment