PN anggap luar biasa dalam sejarah perundangan negara
KUALA LUMPUR 3 Julai- Perikatan Nasional (PN) mendesak Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi penjelasan segera kepada rakyat mengenai kelewatan pelantikan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan
Ketua Whip Ahli Parlimen PN Takiyuddin Hassan juga meminta Perdana Menteri menafikan secara terbuka sebarang niat untuk campur tangan dalam kebebasan kehakiman.
PN juga meminta Perdana Menteri menyegerakan proses pelantikan tetap bagi Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan mengikut lunas Perlembagaan dan kelaziman konstitusional.
Katanya, PN memandang serius dan dukacita terhadap perkembangan terkini dalam institusi kehakiman negara, apabila Hakim Besar Malaya Hasnah Mohammed Hashim, dilantik memangku dua jawatan tertinggi dalam badan kehakiman itu.
“Ini adalah satu perkembangan yang amat janggal, luar biasa dan belum pernah berlaku dalam sejarah perundangan negara (unprecedented).
Ia sekali gus menimbulkan persoalan besar tentang keutuhan sistem pemisahan kuasa dan kebebasan institusi kehakiman yang menjadi asas kepada prinsip rule of law dalam mana-mana negara demokrasi,” katanya.
Setiausaha Agung Pas itu berkata, lebih mengejutkan, pelantikan ini berlaku dalam keadaan Kerajaan Persekutuan dan Perdana Menteri seolah-olah mengesahkan secara rasmi niat di sebalik tidak memberikan pelanjutan perkhidmatan kepada bekas-bekas Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan, yang masing-masing bersara wajib beberapa hari yang lalu.
Katanya, kegagalan Perdana Menteri untuk mengambil tindakan segera dan sewajarnya dalam urusan pelantikan tertinggi dalam badan kehakiman ini mengundang tanda tanya yang sangat besar.
Ia juga mencetuskan persepsi bahawa terdapat unsur campur tangan yang nyata, pengabaian disengajakan, atau lebih buruk lagi perancangan tersembunyi untuk mempengaruhi atau mengawal sistem kehakiman di negara ini.
Beliau mendakwa Perdana Menteri telah pun mengetuai cabang-cabang eksekutif dan legislatif negara secara mutlak dan dengan kekosongan ketua cabang kehakiman, adakah ini satu lagi langkah terancang seseorang untuk menyempurnakan pengaruh penuh ke atas semua cabang kuasa Kerajaan, sekaligus mencabul konsep pengasingan kuasa.
“PN ingin menegaskan bahawa kebebasan badan kehakiman bukan sahaja perlu wujud tetapi juga mesti dilihat wujud,” katanya.
Beliau juga menarik perhatian bahawa kegagalan kerajaan menghormati serta menyegerakan proses pelantikan dalam badan kehakiman hanya akan terus menghakis keyakinan rakyat terhadap keadilan dan keluhuran undang-undang.
“Ini pasti mengakibatkan kelewatan proses perundangan di mahkamah, “keadilan yang lambat ditegakkan, hakikatnya adalah keadilan yang dinafikan.”,” katanya.
Tegasnya institusi kehakiman adalah tonggak dan benteng terakhir dalam mempertahankan hak rakyat dan memastikan keadilan ditegakkan tanpa takut atau pilih kasih.
Justeru PN menggesa semua pihak terutama pihak berkuasa jangan sesekali mengorbankan prinsip ini demi percaturan politik atau agenda sempit kuasa.
Nnnn