Siasatan di Putra Heights bebas, telus

SEPANG 3 Julai  – Laporan bencana letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya pada 1 April lalu dilaksanakan secara bebas dan telus tanpa sebarang campur tangan daripada mana-mana pihak, kata Menteri Besar Selangor,  Amirudin Shari.

Beliau menjelaskan, Kerajaan Negeri juga tidak terbabit dalam siasatan insiden berkenaan yang dijalankan pihak berkuasa dengan memanggil seramai 212 individu sebagai saksi.

“Kita tidak bolehlah anggap semua benda ini (kononnya) ada orang yang mengganggunya. Persepsi (sebegitu) tidak boleh kerana perlu dibuktikan secara tepat dan dibuktikan secara saintifik,” katanya.

Beliau mendakwa terdapat pihak yang mempertikai laporan itu dan menganggap ia seolah-olah cuba disorok dan diputarbelitkan sedangkan siasatan dilakukan secara saintifik dan profesional.

“Sekiranya ada pihak yang tidak berpuas hati, mereka boleh menyemak dan meneliti semula laporan tersebut. Laporan ini akan dibuka kepada orang awam selepas mendapat kebenaran,” katanya selepas Majlis Pelancaran Program Publisiti dan Penyertaan Awam Bagi Draf Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Sepang 2035 (Penggantian), hari ini.

Amirudin berkata pihaknya, memberikan ruang sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melakukan siasatan termasuk memanggil saksi seperti pemaju, pengawal keselamatan dan pengendali jengkaut.

“(Ketika ini) siasatan pihak polis tidak mendapati sebarang kecuaian dan tindakan-tindakan khianat,” katanya.

Semalam, Pertubuhan Kebajikan Penduduk Kampung Kuala Sungai Baru (KKSB) mendesak agar kerajaan menyemak semula keputusan laporan tersebut serta mencadangkan agar satu badan penyiasat bebas ditubuhkan bagi memastikan ketelusan siasatan.

Setiausaha KKSB, Mohd Badly Nordin menyifatkan keputusan tiada tindakan lanjut (NFA) menimbulkan persoalan dan seperti menafikan hak mangsa untuk mendapatkan keadilan.

Amirudin sebelum ini berkata, Selangor akan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas bagi meneliti laporan berhubung kebakaran paip gas di Putra Heights pada 1 April, dan merangka langkah jangka panjang, di samping mencadangkan peraturan-peraturan baharu dan langkah pencegahan bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang lagi.

Semalam, Pertubuhan Kebajikan Penduduk Kampung Kuala Sungai Baru (KKSB) tidak berpuas hati dengan klasifikasi Tiada Tindakan Lanjut (NFA) bagi insiden letupan paip gas di Putra Heights dan mendesak siasatan disemak semula.

Polis mengklasifikasikan insiden letupan saluran gas di Putra Heights sebagai NFA susulan hasil siasatan jenayah yang tidak menemukan sebarang unsur kecuaian atau khianat.

Insiden kebakaran itu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 separa musnah, 57 terkesan, tetapi tidak terbakar manakala 218 rumah tidak terjejas termasuk di Kampung Tengah, Puchong.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment